HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Oktober 2018

Guan Eng: Bantuan buat Kelantan dilulus meski dicerca PAS

 
   
ULASAN | Kerajaan negeri Kelantan masih berhutang sebanyak RM1,460.7 juta dengan kerajaan persekutuan pada 30 September 2018, dengan tunggakan hutang sebanyak RM478.6 juta, di mana pembayaran balik jumlah ini juga lewat daripada yang dijadualkan.

Hutang RM1,460.7 juta kepada kerajaan persekutuan hanyalah hutang untuk pembangunan dan infrastruktur.

Ini tidak mengambil kira pendahuluan untuk perbelanjaan pengurusan yang merupakan bantuan kewangan tambahan oleh kerajaan persekutuan untuk membayar gaji/emolumen kakitangan kerajaan negeri Kelantan dan kos operasi.

Kerajaan Kelantan telah mendapat pinjaman tambahan daripada kerajaan persekutuan dalam bentuk Pendahuluan untuk membiayai kos membayar gaji/emolumen dan kos operasi ini. Ini diakui sendiri oleh kerajaan Kelantan dalam beberapa surat rasmi kepada Kementerian Kewangan.

Seperti yang semua sedia maklum, Kelantan adalah penerima dan penghutang terbesar dana pendahuluan. Perlu ditegaskan, hanya sebilangan kecil kerajaan negeri sahaja yang memohon dana Pendahuluan untuk bayaran gaji/emolumen dan kos pengurusan.

Negeri-negeri seperti Selangor, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang tidak pernah meminjam dana Pendahuluan kerana mereka tidak ada masalah membayar gaji/emolumen kakitangan kerajaan negeri.

Pada 30 September 2018 dana pendahuluan yang dihutang oleh Kelantan ialah RM404.4 Juta, yang masih belum dibayar. Dengan kata lain, jumlah keseluruhan hutang Kelantan, mencakupi hutang pembangunan dan hutang pengurusan sebenarnya ialah RM1,865.2 juta.

Perlu diingatkan bahawa jumlah hutang sebanyak RM1,865.2 juta ini adalah bantuan tambahan di samping pemberian per kapita dan jalan yang telah diberikan kepada kerajaan Kelantan sepertimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Saya terkejut ada barisan kepimpinan PAS yang tidak faham perbezaan di antara hutang untuk pembangunan dan untuk pengurusan. Begitu juga dengan mereka yang masih tidak mahu mengakui kedudukan kewangan kerajaan Kelantan yang begitu kritikal sehingga tidak mampu membayar gaji kakitangan kerajaan Kelantan.


Bantuan bukan sedekah

Kementerian Kewangan ingin membetulkan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, presiden PAS kerana kerajaan persekutuan tidak pernah menganggap permintaan bantuan kewangan untuk pembayaran gaji daripada kerajaan Kelantan sebagai permintaan sedekah.

Sebaliknya, Kementerian Kewangan memberi perhatian yang serius terhadap permintaan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri Kelantan untuk membayar gaji kakitangan kerajaan dan itulah sebabnya kelulusan dana diberikan.

Abdul Hadi tidak harus menimbulkan prasangka jahat dan memainkan sentimen negatif terhadap kerajaan persekutuan lebih-lebih lagi kerana bantuan kewangan tetap dihulurkan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebanyak RM22.5 juta pada bulan Ogos untuk membayar gaji/emolumen kakitangan kerajaan Kelantan.

Fakta, angka,dan rentetan peristiwa yang jelas menyatakan situasi sebenar di mana kerajaan Kelantan terpaksa memohon untuk mendapatkan pendahuluan daripada kerajaan persekutuan secara rasmi berulang-kali.

Saya perlu ulangi bahawa bantuan kewangan untuk kerajaan Kelantan membayar gaji/emolumen kakitangan kerajaan masih akan diluluskan meskipun dalam suasana dicerca oleh barisan kepimpinan PAS, dan juga ketika kerajaan persekutuan sedang berhadapan dengan pelbagai kekangan kewangan.

Sama ada audit perlu dijalankan ke atas kerajaan Kelantan, terpulanglah kepada kerajaan negeri kerana itu hak, tanggungjawab dan amanah masing-masing dan kerajaan persekutuan tidak akan campur tangan dalam urusan kerajaan negeri.

Barisan kepimpinan PAS harus mengubah sikap dari memainkan fitnah jahat kepada pendekatan yang lebih profesional dan berdisiplin untuk mencari sumber-sumber hasil yang baru dan menarik minat pelabur untuk membangunkan ekonomi Kelantan.

Angka dan fakta serta pengurusan profesional, bukannya sentimen dan fitnah jahat secara melulu, yang berupaya menyelamatkan sebuah negeri gagal yang tidak mampu membayar gaji/emolumen kakitangan kerajaan negeri.

Sekiranya bantuan kewangan yang diberikan dibalas dengan makian, nescaya para pelabur pun keberatan hendak datang ke negeri Kelantan.


*LIM GUAN ENG merupakan menteri kewangan dan anggota parlimen Bagan. 


Tiada ulasan: