HALAMAN SANTAI
Selasa, 30 Oktober 2018
RMK11: Suara rakyat Setiu ke parlimen
SHAHARIZUKIRNAIN ABD KADIR
PERBAHASAN Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia
ke-11 membuka ruang untuk saya mengetengahkan suara dan harapan rakyat
Terengganu khususnya dari kawasan Parlimen Setiu yang saya wakili.
Perbahasan saya tertumpu kepada empat perkara utama iaitu: (i) kekangan
rakyat Setiu; (ii) pembangunan luar bandar; (iii) jurang dua golongan;
(iv) dan keseimbangan alam sekitar. Pertamanya, kekangan rakyat Setiu
merupakan keutamaan saya. Aduan serta harapan rakyat Setiu dibawa ke
Peringkat Kerajaan Persekutuan yang merupakan salah satu langkah bagi
mencapai segala harapan rakyat. Hasil daripada program bersama rakyat
baru-baru ini, saya berjaya mengumpul pelbagai aduan dan masalah rakyat
untuk diketengahkan. Antara isu yang berjaya diangkat ialah, masalah air
di Setiu, bagi menyelesaikan masalah tersebut, saya mencadangkan supaya
disegerakan kelulusan projek pemasangan paip utama oleh Kerajaan
Persekutuuan di mana kertas kerja telah pun disediakan oleh Syarikat Air
Terengganu Sdn Bhd (SATU) dengan anggaran kos 4.76 juta. Isu kemudahan kesihatan yang berkait
rapat dengan nyawa rakyat harus dipandang serius oleh Kerajaan. Oleh
itu, cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Rhu 10 diutarakan bagi
memudahkan rakyat mendapat kemudahan rawatan dan penambahbaikkan Klinik
Kesihatan Jabi yang semakin tidak mampu menampung jumlah rakyat seramai
35,000 dengan jumlah keluasan Klinik Kesihatan Jabi hanyalah 520 kaki
persegi. Seterusnya, pembangunan luar bandar
adalah merupakan sebahagian daripada strategi yang penting untuk memupuk
satu sistem ekonomi yang bersepadu. Oleh itu, saya mencadangkan agar
aspek peluang pekerjaan anak-anak luar bandar seharusnya diberi
penekanan daripada pihak kementerian agar perpindahan penduduk ke bandar
dapat dielakkan bagi mengurangkan jurang antara luar bandar dan bandar. Selain itu, saya juga menekankan isu
jurang antara dua golongan iaitu golongan T20 dan B40 yang semakin
ketara. Kerajaan seharusnya mengaplikasikan cadangan yang dibawa oleh
PAS iaitu memperkenalkan cukai korporat agar harta kekayaan tidak hanya
berlegar dalam kalangan orang kaya sahaja. Golongan B40 seharusnya dapat
merasai kekayaan golongan T20. Dengan ini, konsep keadilan dan
kesejahteraan di antara rakyat dapat dirasai oleh semua rakyat. Kerajaan juga perlu memberi penekanan
terhadap keseimbangan alam sekitar. Saya telah memberi cadangan agar
kerajaan meningkatkan usaha dalam penggunaan kereta hybrid agar
pelepasan karbon yang akan mencemarkan alam sekitar dapat dikurangkan.
Manakala isu yang berkait rapat dengan rakyat Setiu iaitu hakisan yang
melanda persisiran pantai Batu Rakit, kecetekan muara Sungai Merang ,
jalan di Kg Bukit Aman sehingga Kg Sungai Las , masalah pendapatan
peneroka FELDA juga menjadi tajuk yang dilaungkan di dalam perbahasan. Akhirnya, saya menggesa pihak kerajaan
agar menunaikan segala harapan rakyat dan tidak semata-mata menabur
janji manis kepada rakyat serta tidak sama sekali menganaktirikan
mana-mana negeri terutama daerah Setiu. Rakyat meletakkan harapan yang tinggi
untuk melihat perubahan kerajaan baru dan tidak lagi mengulangi
kesilapan kerajaan Barisan Nasional. Saya juga berharap Kerajaan
Persekutuan dapat bersama-sama dengan kerajaan negeri walaupun berlainan
parti politik demi menjaga kepentingan rakyat dan negara. ’Islam Memimpin’ YB SHAHARIZUKIRNAIN ABD KADIR, Ahli Parlimen Setiu - HARAKAHDAILY
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan