HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Oktober 2018

Jeritan 'nak ayah' bergema di majlis peringatan bomba terkorban

 
   

Jeritan 'nak ayah' berulang kali oleh anak bongsu Allayarham Mohd Fatah Hashim menghibakan suasana majlis penghargaan anggota bomba yang terkorban di Puchong, hari ini.

Mohd Fatah adalah seorang daripada enam anggota bomba yang maut akibat lemas ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang hilang di Taman Putra Perdana, Puchong 3 Oktober lalu.

Menurut balu Mohd Fatah, Noor Nadia Kamaludin, kehilangan suaminya memang memberi kesan mendalam terhadap diri serta anak-anaknya, terutama anak bongsu, Muhamad Meqa Al Asyraf yang baru berusia kira-kira dua tahun.

Seorang lagi anaknya, Nur Medina Aisyah, pula berusia tiga tahun.

Katanya, anaknya itu mula mencari bapanya sebaik melihat sejumlah anggota bomba datang ke rumah bagi membawa mereka ke majlis itu, yang diadakan di ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Putrajaya.

“Bermula daripada anggota bomba sampai rumah, dia nampak van bomba, kemudian datang ke sini nampak ramai (anggota) pakai baju bomba, dia panggil ayah dia.

"Mungkin sebab dia selalu tengok ayah dia pakai baju yang sama. Ayahnya pula selalu bawa dia ke balai," katanya (gambar) kepada pemberita selepas majlis itu.

Semenjak pemergian Mohd Fatah, Meqa kerap demam dan sukar untuk tidur kerana tercari-cari bapanya, katanya lagi yang mengalami penyakit tiroid.

Nadia berkata sumbangan yang diterima akan digunakan untuk keperluan mereka sekeluarga, terutama anak-anak yang masih kecil.

Beliau bersama waris anggota lain yang terkorban menerima sumbangan antara RM164,000 hingga RM289,000 serta manfaat insurans dan kebajikan.

Selain itu mereka turut menerima sumbangan RM20,000 daripada kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor.

Majlis dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dan Ketua Pengarah JBPM Mohamad Hamdan Wahid.

Selain Fatah, turut terkorban adalah Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25; Yahya Ali, 24; Adnan Othman, 33; dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Kakak kepada Mazlan, Noria Omarbaki (gambar) berkata dirinya masih terkesan dengan pemergian Allayarham.

"Bukan mudah untuk kami (sekeluarga) hadapi, setiap hari saya teringatkan adik saya," katanya yang beberapa kali berhenti menahan sebak.

“Lebih-lebih lagi, adik saya jenis yang manja dengan saya. Maaf, saya tak boleh ulas banyak sangat,” katanya.

Selain sumbangan, waris turut menerima pingat jasa bomba, surat penghargaan kementerian perumahan dan kerajan tempatan dan tanda pangkat untuk kenaikan pangkat kepada semua yang terkorban.


Tiada ulasan: