HALAMAN SANTAI

Jumaat, 19 Oktober 2018

UPNM ambil tindakan dakwaan gangguan seksual

MALAYSIAKINI

   

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merujuk suatu laporan Malaysiakini pada Ogos lalu memaklumkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah mengambil tindakan susulan mengenai dakwaan bekas naib canselornya cubaa menutup kes gangguan seksual,

"Berhubung laporan Malaysiakini di bawah tajuk 'Dakwaan bekas naib canselor tutup kes gangguan seksual disiasat' siaran 10 Ogos 2018, pengurusan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah mengambil tindakan susulan arahan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," kata Pegawai Perhubungan Awam Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pendidikan Malaysia, Mohd Amir Khusairi Harun.


BACA: Dakwaan bekas naib canselor tutup kes gangguan seksual disiasat


Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini KPM juga mengumumkan telah menubuhkan Jawatankuasa Integriti Akademik bagi membantu siasatan kes-kes seumpama itu.

"Unit Integriti KPM telah menubuhkan Jawatankuasa Integriti Akademik bagi membantu menyiasat kes-kes seumpama itu pada masa-masa akan datang," kata kenyataan itu lagi.

Pada 10 Ogos lalu, berdasarkan beberapa laporan polis yang dilihat Malaysiakini, seorang pensyarah wanita mengadu bahawa pada Jun 2014, seorang timbalan dekan di UPNM melakukan gangguan seksual terhadapnya.

Diancam tarik balik laporan

Dalam laporan pertama, wanita itu berkata beliau bimbang terhadap keselamatannya selepas menerima kiriman teks daripada lelaki itu yang mengandungi "elemen ugutan dan lucah" tetapi tidak memperincikan kandungan mesej berkenaan.

Sepuluh hari kemudian, pensyarah itu membuat laporan kedua dengan mendakwa terus menerima gangguan sehingga mengalami tekanan jiwa.

Beliau kemudian membuat laporan ketiga, mendakwa diancam oleh bekas naib canselor universiti itu agar menarik balik laporan awal semasa pertemuan dengan naib canselor tersebut dan bekas timbalan dekan berkenaan.

Wanita itu juga berkata beliau bimbang mengenai masa depan dan kerjayanya musnah kerana enggan menarik balik dakwaan itu.

Malaysiakini difahamkan pensyarah wanita berkenaan masih bertugas di UPNM. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai laporan polis yang telah dibuat.

Ketika dihubungi, bekas timbalan dekan berkenaan mengakui dia tertarik kepada wanita tersebut tetapi menafikan telah melakukan gangguan seksual.

Beberapa percubaan untuk menghubungi bekas naib canselor itu untuk mendapatkan penjelasan tidak berjaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohamad Isa memberitahu Malaysiakini pihak polis telah menjalankan siasatan dan menutup kes tersebut.


Tiada ulasan: