Senarai keanggotaan bagi semua cabang PKR adalah muktamad memandangkan tempoh bantahan sudah tamat, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas persoalan yang dibangkitkan PKR Sarawak berkenaan kejanggalan dalam senarai keanggotaan di negeri itu, terutama di cabang Julau.
Menurutnya, setiap cabang sebelum ini telah ditugaskan untuk menapis senarai keanggotaan dan membangkitkan bantahan terhadap sebarang "nama ragu" yang ditemui.
"Cabang bertanggungjawab memberitahu ibu pejabat parti (tentang perkara itu) dan membuat laporan.
"Apabila parti telah memuktamadkan senarai, proses bantahan oleh cabang telah selesai. Ketika sidang media ini, proses bantahan telah tamat," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Antara
kejanggalan yang ditemui PKR Sarawak adalah lebih daripada 1,000 anggota
barunya menafikan pernah setuju atau memohon untuk menyertai parti itu.
Selain
itu, lebih 1,000 anggota tidak mempunyai nombor keanggotaan parti,
manakala sejumlah nombor didapati muncul lebih sekali dalam senarai
keanggotaan.
Saifuddin berkata biro politik parti itu
mengambil maklum akan kerisauan PKR Sarawak tetapi tidak menjelaskan
sama ada tindakan akan diambil berhubungnya.
"Perkara itu telah dibincangkan dalam biro politik minggu lepas," katanya.
Malaysiakini
sebelum ini melaporkan PKR Julau - terletak di selatan Sibu di Sarawak
dan bukan kawasan yang padat dengan penduduk - merekodkan 2,147 peratus
kenaikan anggota untuk bulan Jun sahaja.
Mengulas kenaikan itu yang membangkitkan kerisauan beberapa pihak, Saifuddin berkata tiada sebab untuk khuatir dan menggesa ia dilihat dalam konteks yang lebih luas.
"Secara keseluruhan parti mendapat kenaikan hampir 300,000 anggota untuk tempoh sebulan setengah.
"Jika kita boleh faham konteks ini, pertambahan di (beberapa tempat) perlu dilihat secara keseluruhan," katanya yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.
PKR Sarawak sebelum ini menjalankan penyiasatan terhadap 13,178 anggota baru di negeri itu.
Sejumlah 78 peratus daripada 6,474 anggota baru gagal dihubungi mereka manakala baki yang dapat dihubungi sama ada menafikan hasrat mahu menyertai PKR atau mahu menyertai tetapi tidak pernah membuat permohonan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan