Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pendendam berhubung pendakwaan terhadapnya membabitkan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Esok sekali lagi saya akan didakwa oleh SPRM, yang tidak pernah berlaku di mana-mana negara yang kerajaannya terlalu pendendam.
“Saya menerima hakikat didakwa berkaitan 1MDB dan ia adalah kuasa kerajaan untuk mendakwa saya mengikut kehendak mereka,” kata bekas Perdana Menteri itu pada Rabu.
Bagaimanapun kata Najib, setiap sen wang 1MDB adalah dari pinjaman dan adalah tidak masuk akal jika beliau berniat untuk mencuri wang yang dipinjam dan diletakkan dalam akaun atas namanya sendiri.
“Saya tahu akan dapat menghadapi pendakwaan ini di mahkamah dengan mudah, namun pada masa ini saya ingin bertanya akan kejujuran kerajaan PH.
“Mereka perlu melihat pada gambaran lebih besar untuk menyelesaikan isu 1MDB, hentikan mainan politik, jujur dengan semua rakyat Malaysia, pastikan ekonomi dan rakyatnya diutamakan, bukannya berterusan menjadikan lawan politik mereka sebagai keutamaan, siang dan malam,” katanya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi satu kenyataan media hari ini memberitahu Najib, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid, akan didakwa di mahkamah atas kesalahan pecah amanah esok.
Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat dan Pemantau Prestasi Kerajaan, Datuk Lokman Noor Adam dalam kenyataannya meminta semua rakyat Malaysia yang menolak penganiayaan ke atas Najib serta Mohd Irwan untuk hadir beramai-ramai bagi menyatakan #Solidariti4NajibRazak dan #Solidariti4IrwanSerigar.
“Jangan biarkan penganiayaan demi penganiayaan terus dilakukan atas bekas pemimpin dan penjawat awam negara ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan