HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Oktober 2018

Tawaran Hisham cari Jho Low: MP Umno berbelah bahagi

 


Tawaran bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk mencari dan membawa pulang ahli pernigaan kontroversi Low Taek Jho dari China bagi menyelesaikan kes 1MDB mengundang reaksi berbeza di kalangan  anggota parlimen BN.

Menurut Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, Hishammuddin tidak perlu berbuat demikian, sebaliknya jika mempunyai maklumat berkaitan Jho Low, beliau perlu menyalurkannya kepada kerajaan.

“Satu kenyataan yang menarik daripada Hishammuddin untuk cari Jho Low tetapi kalau beliau ada maklumat saya harap dapat diberikan kepada pihak kerajaan sebab itu cara yang terbaik untuk bawa pulang Jho Low yang diperlukan untuk siasatan.

“Perkara seperti ini melibatkan kerjasama agensi antara Malaysia, China kerana ia melibatkan undang-undang dan sebagainya.

“Sepatutnya tidak menjadi satu usaha peribadi. Ia mesti dibuat secara antara kerajaan dan kerajaan” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Khairy berkata demikian mengulas tawaran Hishamuddin yang mahu mencari Jho Low sehingga ke lubang cacing.

Semalam, Hishammuddin berkata, beliau akan menggunakan hubungan terdahulu dengan pemimpin China dalam usaha menjejaki Jho Low.

Hishammuddin yang juga bekas menteri tugas-tugas kKhas berkata beliau bersedia menggunakan jaringan hubungannya dengan China untuk mencari Low.

Untuk itu, katanya, beliau akan berbincang dengan rakannya di China bagi memastikan kesahihan khabar angin mengenai keberadaan Jho Low di China dan sanggup ke sana untuk membawa ahli perniagaan kontroversi itu berdepan keadilan.

Mengulas isu yang sama, Anggota Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz menyambut baik usaha Hishammuddin untuk membawa pulang Jho Low.

“Bagus, kerana apa yang Hishammuddin boleh buat untuk bawa balik Jho Low, baguslah.

“Semua orang nak tahu juga di mana dia. Kalau dia tak di China, kalau Hishammuddin ada ruang (untuk cari Jho Low), saya ingat baguslah.

“Sebab kita pun nak tahu cerita sebenarnya sebab dia watak utama (dalam kes 1MDB), jadi saya rasa ia tindakan yang baik dari Hishammuddin,” katanya.


Tiada ulasan: