HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Oktober 2018

Rafizi jangka akan kalah di Selangor


Bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata, beliau masih 
bertahan dengan kira-kira 1,000 undi. (Gambar Bernama)
 

AMPANG: Calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli hari ini menjangkakan beliau akan kalah dalam pemilihan parti itu Selangor.

Menurutnya, peluangnya menang di Selangor hanyalah 45% berbanding penyandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali 55%.

“Saya memang jangka kalah di Selangor cuma yang mengejutkan sekarang ialah margin kekalahan itu.

“Ramai dalam PKR ramai yang merasakan (akan kalah teruk) oleh kerana Azmin pengerusi PKR Selangor dari 1998 lagi, kemudian dia juga menteri besar Selangor,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pemilihan parti itu di Pandan di sini hari ini.

Fasa terakhir proses pemilihan PKR peringkat Selangor yang mempunyai keanggotaan paling ramai disahkan layak mengundi iaitu 249,850 orang, berlangsung hari ini di 6 daripada 22 cabang di negeri ini.

Enam cabang berkenaan adalah Tanjong Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat yang mempunyai lebih 61,000 anggota layak mengundi.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata banyak pihak menjangka beliau akan kalah dengan margin 5,000 undi.

Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Pandan berkata, beliau masih lagi bertahan dengan kira-kira 1,000 undi.

Rafizi berkata, sokongan yang kuat kepadanya di negeri di luar Selangor juga akan memberikan persaingan sengit dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR itu.

“Di Sabah dan Sarawak itu dilihat berpihak kepada saya sedikit.

“Hari ini pengundian terakhir di semenanjung, kalau contohnya (undi) saya lebih kurang sama dengan Azmin, atau saya ketinggalan sedikit sahaja, itu akan beri peluang besar (kepada saya) di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Rafizi juga mengulas sama ada pihaknya telah mengemukakan aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) berhubung dakwaan amalan politik wang dalam pemilihan parti.

“Semua aduan oleh orang yang memaklumkan kepada saya mereka ditawarkan wang telah saya hantar terus kepada kepimpinan parti dan saya tahu Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri ada bercakap dengan beberapa orang,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi semasa berucap pada Majlis Amanat sempena pemilihan PKR di Seremban mendakwa politik wang berlaku secara berleluasa di 6 negeri yang sudah mengadakan pemilihan.

Beliau, yang merujuk pihak bertanggungjawab sebagai “sebelah sana”, mendakwa suasana politik wang itu tidak pernah dilihat dalam PKR sebelum ini.

Tiada ulasan: