HALAMAN SANTAI

Jumaat, 19 Oktober 2018

Keluarga 8 pegawai imigresen desak mahkamah tangguh perbicaraan

 


Anggota keluarga lapan pegawai imigresen yang didakwa bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) berhimpun di depan Kompleks Mahkamah Klang hari ini.

Himpunan itu diadakan kira-kira pada pukul 10.30 pagi tadi dan dianjurkan oleh Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil Dan Sederhana Malaysia (IKHLAS).

Walaupun lapan individu itu dituduh di bawah undang-undang antipemerdagangan manusia namun mereka ditahan tanpa perbicaraan di bawah Sosma.

Presiden IKHLAS Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, mereka memohon perbicaraan ditangguh sementara menunggu kerajaan menilai semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

"Hakim masih menetapkan tarikh perbicaraan pada 23 hingga 26 Oktober walaupun dipohon untuk ditangguhkan oleh peguam.

"Kami tunggu sehingga minggu depan, jika tiada apa-apa perkembangan mengenai tuntutan kami, kami akan hantar memo kepada peguam negara," kata Ridzuan kepada Malaysiakini, hari ini.

Menurut peguam T Harpal Singh, kelapan-lapan pegawai imigresen itu didakwa bawah ATIPSOM yang termasuk bawah Jadual Pertama Sosma.

"Jadi oleh kerana peguam negara berkata kerajaan mahu memansuhkan Sosma, mahkamah perlu menangguhkan perbicaraan ini," katanya ketika dihubungi.

Beliau merujuk jaminan Peguam Negara Tommy Thomas pada 25 Ogos lalu bahawa Sosma kini "menunggu masa" untuk dimansuhkan.

Dalam pada itu, Mohd Ridzuan membangkitkan beberapa kes melibatkan anggota kongsi gelap yang pada mulanya didakwa bawah Sosma tetapi ditukar kepada Seksyen 43 Akta Pertubuhan.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai polis, Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi menyemak semula undang-undang keselamatan yang dianggap bertentangan dengan hak asasi manusia.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin pula berkata jabatan peguam negara akan menilai semula penahanan semua 442 individu bawah Sosma.

Tiada ulasan: