HALAMAN SANTAI

Jumaat, 8 Februari 2019

Kerjasama UMNO-PAS bukan ‘wayang kulit’ – Zahid

THE MALAYSIAN TIMES



BAGAN DATUK: Kerjasama antara UMNO dan PAS bukan sandiwara atau main wayang demi kepentingan politik tetapi kerjasama yang ikhlas demi kepentingan Islam, Melayu dan negara, kata Anggota Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata keikhlasan kedua-dua parti itu harus telus dan tidak mempunyai agenda tersembunyi di sebalik kerjasama antara PAS dan UMNO.

Malah, bekas timbalan perdana menteri itu turut yakin bahawa parti Islam itu kali ini benar-benar ikhlas bekerjasama demi mengangkat martabat serta kepentingan Islam tanpa melupakan komuniti lain selain meminta PAS dan UMNO perlu melupakan persengketaan silam dan berpandangan lebih jauh.

“Jika ia (kerjasama UMNO-PAS) hanya sandiwara atau wayang politik, itu adalah sejarah. Kalau kita (UMNO-PAS) mahu mengambil alih (kerajaan), kita mesti ikhlas dan mengambil keputusan bersama demi Islam, Melayu dan negara serta jangan ada agenda tersembunyi.

“Kita mahu melihat perubahan dan semua itu mesti dilakukan dengan penuh keikhlasan. Kali ini, UMNO benar-benar ikhlas dan saya yakin PAS juga ikhlas (bekerjasama) demi menjaga kepentingan ummah, agama serta kepentingan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel bersama Yang Dipertua PAS Kawasan Bagan Datuk yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Misbahul Munir Masduki, pada Wacana Pemimpin ‘Kerjasama PAS-UMNO, Sejauh Mana?’ di Dewan Utama, Kompleks UMNO Bagan Datuk, dekat Sungai Sumun, di sini, malam tadi.

Pada program itu, peguam syarie yang juga anak kelahiran Bagan Datuk, Basaruddin Mohd Yusof bertindak sebagai moderator.

Untuk rekod, Ahmad Zahid menyerahkan tugas Presiden UMNO kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan, berkuat kuasa serta-merta pada Disember tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, agenda kerjasama UMNO-PAS berkenaan penting kerana ia juga adalah kehendak dan kemahuan rakyat yang merasakan kedua-dua parti terbabit memiliki kekuatan berdepan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lagi sudah ada rundingan untuk kerjasama PAS dan UMNO tetapi PAS membuat keputusan ‘stand alone’.

“Barisan Nasional (BN) kalah PRU-14 sebab pertandingan tiga penjuru sama ada di kerusi Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri (DUN), dan inilah harga yang kita bayar dengan mahal. Kita mengakui kesilapan sebab keputusan tidak muktamad,” katanya.

Tiada ulasan: