Bekas anggota Umno Sabah yang bertanding atas tiket Barisan
Nasional dalam PRU Ke-14 lepas dan keluar parti itu bakal menerima saman
daripada Umno, kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.
“Tindakan undang-undang itu diambil bukan untuk menghalang keputusan mereka untuk keluar meninggalkan parti kerana itu adalah keputusan dan hak masing-masing.
“Ini bukan soal mereka melompat parti tetapi mereka ada kontrak, menerima dana daripada parti, bantuan tertentu daripada parti untuk mendukung amanah parti termasuk menggunakan lambang parti dengan tandatangan presiden,” katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan bersama anggota Umno di Kota Kinabalu hari ini.
Beliau berkata tindakan itu diambil berdasarkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno dan proses untuk mengemukakan saman itu akan memakan masa kerana perlu melalui beberapa proses termasuk penyediaan dokumen dan lantikan peguam.
Bung Mokhtar struktur semula parti
Sementara itu, Annuar berkata Umno Sabah telah melantik ketua-ketua di peringkat bahagian termasuk ketua bahagian, ketua pemuda, ketua wanita dan puteri yang hampir kesemuanya adalah muka baharu.
Beliau berkata pelantikan itu bagi menstruktur semula parti itu di bawah pimpinan Bung Mokhtar Radin.
Katanya, anggota parti yang dilantik itu terbukti sebagai anggota parti yang setia selain telah lama berkhidmat kepada parti itu walaupun tidak memegang sebarang jawatan.
“Umno Sabah seperti mana yang dipersetujui oleh MT diberikan autonomi tertentu yang akan diperincikan dari semasa ke semasa bagi membolehkan Umno Sabah membuat keputusan dan ketetapan” katanya.
Pada 12 Disember tahun lepas, lima anggota parlimen, sembilan Adun dan dua senator, termasuk Pengerusinya Hajiji Mohd Noor mengumumkan keluar Umno.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan