HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 Februari 2019

K'jaan Perak didakwa membalak di tanah Orang Asli - Laporan

MALAYSIAKINI

   

Masyarakat Orang Asli di Gerik dilaporkan mendakwa kerajaan negeri Perak yang ditadbir Pakatan Harapan menceroboh tanah adat mereka untuk aktiviti pembalakan.

Hal ini terjadi meskipun dalam keadaan kerajaan persekutuan bertindak menyaman kerajaan Kelantan yang diterajui PAS mengenai isu pencerobohan tanah masyarakat Orang Asli di Gua Musang.

FMT telah menyiarkan laporan polis yang dibuat seorang tok batin dari Perak mengenai pencerobohan tersebut.

Berdasarkan laporan polis itu, pembalakan dilakukan di atas tanah mereka tanpa kelulusan atau pengetahuan mereka.

Menurut laporan FMT lagi, masyarakat Orang Asli telah mendirikan sekatan apabilan rayuan mereka mengenai hal tersebut tidak didengar.

Tok batin berkenaan yang tidak dinamakan dalam laporan FMT itu berkata pada 30 Januari lalu, wakil syarikat balak dan Jabatan Perhutanan Perak telah memberi amaran kepada penduduk Orang Asli bahawa pembalakan akan diteruskan dan sesiapa yang melawan akan ditangani secara kekerasan.

Pembalakan itu didakwa dilakukan ke atas tanah seluar 80 hektar yang meliputi tanah adat Orang Asli.

Saman Kelantan, saman Perak juga

Malaysiakini sedang cuba menghubungi pihak kerajaan negeri Perak dan Putrajaya bagi mendapatkan penjelasan mengenai hal ini.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Shariffa Sabrina Syed Akil berkata pentadbiran PH perlu bertindak terhadap kerajaan negeri Perak.

"Perak di bawah Pakatan Harapan. Jangan hanya saman Kelantan, saman Perak juga yang memusnahkan kehidupan Orang Asli di sana," katanya, petik laporan FMT lagi.
Peka sedang membantu Orang Asli di Tasik Cunex bagi mendapatkan khidmat bantuan guaman.

Pada 18 Januari lalu, Putrajaya mengumumkan sedang memulakan tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri Kelantan bagi pihak Orang Asli di Gua Musang.

Peguam Negara Tommy Thomas berkata kerajaan Kelantan dan agensinya memberikan lesen pembalakan di Gua Musang kepada syarikat swasta tanpa berunding dengan masyarakat Orang Asli suku Temiar atau menawarkan mereka pampasan dan telah menyebabkan kerosakan yang besar.

Thomas berkata Putrajaya memutuskan untuk menyaman Kelantan kerana menghormati Perlembagaan Persekutuan dan menjadi tanggung jawab kerajaan dari segi undang-undang untuk melindungi kesejahteraan masyarakat Orang Asli.

Pada 2 Ogos 2018, kerajaan negeri Perak yang baru dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menghentikan pengeluaran lesen konsesi balak bagi memastikan kelestarian alam sekitar kekal terjamin.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu dipetik Bernama berkata menyedari pembalakan merupakan satu daripada sumber kewangan negeri, pihaknya akan berusaha mencari alternatif bagi menggantikan sumber tersebut.

"Kerajaan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) masih lagi bertekad untuk tidak mengeluarkan lesen-lesen baharu namun pada masa sama kita sedar bahawa ia penting untuk menjana pendapatan.

"Kita perlu cari jalan bagaimana untuk buatnya (pembalakan) secara lestari dan jika boleh dihentikan sepenuhnya. Saya cuba seboleh-bolehnya untuk tidak membalak langsung," katanya.


Tiada ulasan: