HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 Februari 2019

Uncle Kentang tak bawa impak besar di Semenyih

 
   

PRK SEMENYIH | Biarpun popular di media sosial, aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, dilihat tidak akan memberikan kesan ketara terhadap pola pengundian pada 2 Mac nanti.

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Sains Politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, calon bebas lazinmya tidak menjadi pilihan pengundi, melainkan individu itu benar-benar tokoh terkenal yang pernah berkhidmat di sesuatu kawasan.

“Saya rasa kesannya sangat kecil, malah mungkin tak ada kesan langsung.

“Calon bebas tak mendapat tempat dalam politik Malaysia. Kalau dilihat daripada sejarah (pilihan raya) sebelum ini, (calon bebas) yang menang adalah mereka yang memang diketahui dan pernah berkhidmat di kawasan. Tokoh yang terkenal," katanya.

Ditanya mengenai populariti Uncle Kentang - nama lain bagi Kuan - itu, Mohd Azizuddin berkata ia juga tidak akan memberi banyak kesan terhadap sokongan yang mungkin diterima aktivis terbabit.

Malah katanya populariti dalam kalangan pengguna media sosial juga tidak memberi kelebihan banyak kepada Kuan kerana bukan semua mereka itu pengundi.

“Yang penting sekali, (adakah) pengundi di Semenyih melihat Kuan itu tokoh penting yang boleh bawa perubahan dan menyumbang kepada penduduk. Saya tak nampak keadaan itu berlaku,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Ikut kemampuan calon

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media bahawa Uncle Kentang yang cukup sinonim dengan khidmat teksi dan ambulans 10 sen, serta van jenazah percuma, mengumumkan hasrat bertanding pada PRK Semenyih sebagai calon bebas.

Sekiranya menang, Kuan berjanji tidak akan mengambil walaupun satu sen duit gajinya sebagai wakil rakyat, sebaliknya menggunakan peruntukan itu bagi membantu penduduk.

Pandangan senada turut dikongsi oleh penganalisis politik B Anbumani yang menyifatkan rakyat Malaysia lebih cenderung memilih gabungan parti politik seperti BN atau PH berbanding calon persendirian.
Gambar fail
Katanya belum ada kesedaran yang tinggi buat pengundi untuk membuat pilihan berdasarkan kemampuan calon dan bukan sekadar parti yang diwakilinya.

“Jika masyarakat kita sudah ada tahap kesedaran (dalam menilai) bahawa seseorang calon itu ini boleh buat kerja lebih baik berbanding calon lain, maka ceritanya akan jadi lain.

“Sekarang, nampaknya pengundi banyak ikut parti politik,” katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Anbumani, sokongan gabungan atau pakatan parti memainkan peranan yang penting kerana rakyat mahu melihat kesinambungan bantuan yang dijanjikan, memandangkan perlaksanaan bantuan merupakan proses yang berterusan.

Perlu faktor luar biasa

Beliau memberikan contoh calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada PRU ke-14 lalu, S Arutchelvan, yang berpengaruh dan popular di Semenyih, tetapi hanya mampu memperoleh 1,293 undi.

“Sebab dia tiada dalam (satu) pakatan.

“Ini kita nampak juga di PRK Cameron Highlands, calon bebas itu popular, tapi tak banyak undi di sana.

"Masyarakat mahukan pertolongan yang bukan hanya secara ‘ad hoc’, tetapi secara jangka panjang,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada PRK Cameron Highlands, kebanyakan undi diraih oleh calon BN Ramli Mohd Nor dengan 12,038 undi dan calon PH M Manogaran dengan 8,800 undi.

Dua calon bebas yang bertanding pula, Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib masing-masing meraih cuma 276 dan 314 undi.

Ketika disoal sama ada Kuan akan turut diundi oleh orang Melayu memandangkan khidmat bantuannya yang tidak mengira kaum, Anbumani tidak menolak kemungkinan itu.

“Sudah tentu dia akan mendapat undi daripada pengundi yang benar-benar menghargai bantuanya secara ikhlas daripada mana-mana kaum pun. Kita nampak niatnya telus mahu bantu rakyat.

“Tetapi apakah kemunculannya sebagai calon bebas dapat menjadinya sebagai ‘kuasa ketiga’ yang mampu memberi saingan sengit kepada PH, BN dan parti lain? Itu persoalannya.

“Dalam senario politik Malaysia jarang sekali calon bebas dapat mengegarkan suasana politik negara melainkan (memiliki) satu faktor yang cukup luar biasa,” jelasnya.

Sementera bagi Azizuddin pula, beliau memberi jawapan ringkas tetapi jelas, bahawa perkara tersebut “tiada kesan pada orang Melayu”.


Tiada ulasan: