LAPORAN Polis oleh PAN
ke atas Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek adalah langkah
terdesak parti itu menutup kelemahan mereka dalam urus tadbir Kerajaan
Negeri. Bahkan ia juga untuk menghalang lebih banyak tindakan mereka
memproksikan jabatan atau agensi kerajaan untuk kepentingan politik
kepartian terbongkar.
Sikap ini juga bermakna cuba menutup
kemungkinan salah laku dan ketidaktelusan integriti, serta paling nyata
adalah ikrar untuk membebaskan institusi rakyat dari pengaruh atau
campur tangan politik hanyalah janji kosong. Sedangkan PAS selaku parti
bukan kerajaan hanya bertindak bagi tujuan hisbah atau semak dan imbang.
Reaksi umpama takutkan bayang-bayang
sendiri ini sebenarnya menimbulkan syak dan sangsi bahawa pihak PAN juga
menyembunyikan kepincangan dan bimbang hakikatnya dari diketahui
rakyat. Malang, mereka yang berada di tampuk pemerintahan kerajaan tidak
berani untuk terbuka menjelaskan perkara sebenar atau membetulkan
keterlanjuran.
Sebaliknya, menidakkan perkara sebenar
dari menjadi maklumat kepada rakyat menggunakan kekuasaan dan penguat
kuasa. Jika perkara yang dinyatakan Ustaz Kamarudin adalah dakwaan,
tuduhan atau fitnah, mengapa pihak tersebut yang sedang berkuasa takut
untuk turun bertemu rakyat datang dan menyelesaikan isu berbangkit?
Biarpun pihak kerajaan mahupun PAN cuba
menafikan, pihak rakyat yang mengalami sendiri perkara tersebut di
peringkat akar umbi negeri sedang merasainya. Amalan, tradisi atau rutin
di masjid atau kariah penduduk yang telah mapan sekalian lama sedang
diusik oleh tangan-tangan politik. Jangan bodohkan rakyat di era
kecelikan politik terbuka kini.
Secara tidak langsung, tindakan pihak
kerajaan itulah bersifat mempolitikkan masjid kariah yang merupakan
institusi rakyat dan tunjang kekuatan umat Islam di negeri. Bahkan layak
dikatakan ia datang dari pengaruh kepartian politik itu sendiri biarpun
kalian nafikan. Lebih malang jika mengikut telunjuk parti bukan Islam.
Kami teramat kesal kerana sejak
berdirinya kerajaan baharu ini di Seri Negeri, segala perkara berkaitan
kepentingan Islam dan Melayu dilihat sedang dikurang atau dilemahkan.
Sebaliknya, kerajaan ini secara megah mengangkat dan mengiktiraf agenda
perkauman seperti Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang jelas untuk
kaum tertentu.
"Islam Memimpin"
"Terus Mara"
USTAZ HJ AHMAD BILAL RAHUDIN
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan