LIM Kit Siang (LKS)
kebelakangan ini dilihat semakin galak menyerang Dato’ Seri Tuan Guru
Haji Abdul Hadi Awang gara-gara Presiden PAS itu menegaskan bahawa punca
PAS memutuskan hubungan dengan DAP adalah kerana DAP memusuhi agenda
Islam yang diperjuangkan oleh PAS iaitu untuk memartabatkan syariat dan
syiar Islam.
Peliknya,
penjelasan seperti itu dan secara terbuka, bukanlah kali pertama dibuat
oleh Presiden PAS; sudah dalam banyak siri ceramah dan penulisan
beliau, Presiden PAS menyatakan perkara tersebut.
Sebenarnya yang menyebabkan LKS seumpama
cacing kepanasan adalah kerana selepas PRU14 dan beberapa siri PRK,
orang-orang Melayu-Islam mula menyedari agenda anti-Islam DAP dan
semakin membenci DAP.
LKS dan DAP tidak dapat menerima versi
Islam yang sebenar yang menekankan pelaksanaan syariat dan menegaskan
bahawa politik adalah sebahagian daripada agama. Sebaliknya, LKS dan DAP
lebih mesra Islam Moderat sebagaimana dakwaan beliau iaitu satu
pemikiran jelmaan pemikiran Islam ala Amerika.
Sebab itulah, apabila Presiden PAS
menjelaskan mengenai kepemimpinan Islam dan kepentingan Islam berkuasa
justeru mengajak orang-orang Islam mengundi calon beragama Islam yang
baik, LKS berterusan menyerang Presiden PAS.
Sedangkan, para ulama dan cendekiawan
Islam menjelaskan dan orang-orang Islam memahami bahawa Islam Moderat
adalah versi Islam yang mendukung demokrasi total termasuk pluralisme
dan hak asasi manusia secara mutlak; menolak konsep Negara Islam dan
penguatkuasaan undang-undang syariah; mendukung idea kesamarataan
gender; bersetuju bahawa Islam tidak wajar dianggap lebih tinggi
berbanding agama-agama lain; dan mempertahakan kebebasan untuk keluar
meninggalkan Islam.
Terima kasih saya ucapkan kepada LKS
kerana akhirnya mengaku sendiri bahawa beliau memang anti-Islam yang
sebenar dan mesra Islam Moderat tajaan Amerika Syarikat.
“Islam Memimpin”
*DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI, Ahli Parlimen Kuala Nerus
HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan