HALAMAN SANTAI

Sabtu, 9 Februari 2019

PH tidak kisah Uncle Kentang bertanding di Semenyih

Mohd Zaini Samsu Hadi

MGF09022019_PC-MUHYIDDIN-PRK-SEMENYIH04-681x454
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan perjumpaan bersama Ahli Jawatankuasa Bersatu Hulu Langat di Semenyih EcoVenture Resort & Recreation, Semenyih, Selangor. foto HAZROL ZAINAL
.

SEMENYIH – Pakatan Harapan (PH) tidak kisah dengan penampilan calon bebas, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang yang menyatakan hasratnya untuk bertanding di Semenyih.

Ini kerana, dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi siapa sahaja boleh bertanding dalam mana-mana pilihan raya, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut ahli Parlimen Pagoh, beliau sendiri tidak mengenali calon bebas berkenaan dan tidak bimbang sekiranya dia hendak menjadi calon pada PRK tersebut.

“Saya tak kenal Uncle Kentang ni, saya tak kisah dalam pilihan raya kita mengamalkan sistem demokrasi. Siapa nak bertanding boleh bertanding..

“Tak apalah kita akan hadapi. Sebagai calon kita akan hadapi denngan tidak meremehkan dia,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa Bersatu Hulu Langat, ketua kampung dan penghulu serta PDM Semenyih di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Uncle Kentang yang membuat keputusan untuk bertanding pada PRK Semenyih dengan menggunakan lambang telefon.

Beliau bakal menjadi pesaing kepada dua calon daripada PH dan Barisan Nasional (BN).

PRK DUN Semenyih diadakan susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, dari Pakatan Harapan akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.

Hari penamaan calon ditetapkan 16 Februari ini, manakala tarikh pengundian awal pada 26 Februari.

Dalam pada itu, Muhyddin berkata, PH menyedari tidak mengetahui sikap pengundi di Semenyih sama ada mereka menyokong parti Bersatu atau sebaliknya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: