Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
Khat jadi sandiwara, UEC diiktiraf walaupun jejas pendidikan nasional
BANGI – Berdasarkan sifir dan kronologi isu jawi, sudah boleh jangka
UEC akan tetap diiktiraf walaupun menjejaskan sistem pendidikan nasional, kata
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) sebuah pertubuhan Islam dan Melayu,
Haji Aminuddin Yahaya.
Beliau
berkata demikian susulan kronologi pelaksanaan tulisan khat di sekolah
vernakular yang semakin ‘dilonggarkan’ setiap kali dibincangkan oleh pihak berkuasa.
Terdahulu,
jemaah menteri memutuskan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa
Melayu kepada murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) akan diteruskan
mulai tahun depan.
Bagaimanapun,
ia hanya dilakukan jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
serta ibu bapa dan murid SJK manakala di Sekolah Kebangsaan akan diteruskan
seperti biasa.
Berikutan
itu, Aminuddin yang juga Pengerusi UMMAH berkata, timbul keraguan samada tulisan
khat akan diajar di sekolah vernakular ataupun tidak, kerana hakikatnya, PIBG
turut dikawal oleh puak yang keras menentang pelaksanaannya.
“Rakyat
melihat drama-drama penentangan yang begitu kuat daripada komuniti Cina dan
India selepas dihasut oleh pihak-pihak seperti Dong Zong, agak-agaknya PIBG
dikuasai oleh mereka akan bersetuju atau tidak?
“Saya
rasa agak sukar untuk mereka bersetuju. Jadi akhirnya isu tulisan jawi akan
jadi apa? Adakah hanya menjadi sandiwara?
“Jadi,
bukankah ini satu usaha yang tak berfaedah, membuang masa dan wang kementerian?
Maka timbul persoalannya di sini; siapakah yang lebih berkuasa sebenarnya?
Kementerian atau Dong Zong?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kontroversi
pelaksanaan tulisan khat dilihat lebih memihak kepada Persekutuan Gabungan
Jawatankuasa Sekolah-Sekolah Cina (Dong Zong), maka kini rakyat ingin melihat
pula samada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC)akan diiktiraf atau tidak.
Ini
kerana, orang Melayu sudah lama menyatakan pendirian mereka iaitu tidak
bersetuju tetapi Dong Zong bermati-matian memperjuangkannya, kata Aminuddin.
“Berdasarkan
sifir dan kronologi isu jawi, maknanya kita boleh jangka bahawa UEC akan tetap
diiktiraf walaupun akan menjejaskan sistem pendidikan nasional, bercanggah
dengan Perlembagaan Persekutuan dan sebagainya.
“Jika
UEC diiktiraf sebagai sistem alternatif untuk ke universiti awam, maka saya
cadang agar kita tutup sahaja sekolah nasional ini dan kita masukkan semua
pelajar ke sekolah vernakular. Sekurang-kuranya mereka belajar dan bergaul di
bawah satu bumbung.
“Dalam
konteks perpaduan kaum, saya tak nampak apa-apa kebaikan yang boleh dibawa oleh
polisi dan sistem kita sekarang kerana rakyat akan lagi berpecah. Bersedialah
untuk menghadapi UEC,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan