ORANG Melayu dulu mungkin tidak berapa cerdik sebab serba kekurangan. Kurang makan, kurang kesihatan dan kurang pelajaran.
Mereka makan ubi kayu dengan sambal belacan dan ikan salai apabila keputusan beras.Mereka berubat cara kampung dengan ramuan herba, serapah dan jampi.
Mereka mengaji (belajar) di sekolah rakyat, pondok dan madrasah yang ajar hal dunia dan akhirat.
Mereka berfikiran terbuka dan sering berlapang dada.
Mereka tidak jaga tepi kain orang (kecuali kalau kain jemaah kotor
terkena lumpur waktu masuk masjid).
Dengan
belajar dan memerhati alam sekeliling, mereka menjadi pandai. Maka
mereka berjaya tinggalkan kepada kita banyak kebijaksanaan, contoh dan
teladan.
Kepada mereka, orang yang berfikiran cetek dan selalu susahkan diri sendiri, mereka kata tidak ada beban batu digalas.
Tentulah lagi bodoh orang yang sudah pun ada beban
tetapi cari beban baru atau ambil alih beban orang lain. Kerja macam ini
bolehlah kita kata, galas biawak hidup.
Nampaknya inilah yang sedang berlaku. Kita sudah
banyak beban sendiri tapi kita galas juga beban yang orang lain
tinggalkan – macam beban kehadiran penceramah warganegara India Zakir
Naik.
Kita pun tahu, di India orang Hindu bunuh orang Islam
dan orang Islam bunuh orang Hindu adalah perkara biasa. Hasutan agama
dianggap sebahagian daripada amalan demokrasi.
Kita di Malaysia lain. Kita hormat agama dan kepercayaan satu sama lain.
Jangkitan
Jadi Maaf cakaplah kalau saya kata bahas melampau
mengenai pelbagai isu sampingan telah menyebabkan masyarakat kita
menjadi radikal dan semakin berbau perkauman.
Saya gembira mendengar kenyataan Menteri Dalam
Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 15 Ogos, yang kerajaan sedang
bertindak tegas ke atas orang yang terbabit menyebabkan ketegangan ini.
Begitu juga dengan kenyataan bersama pada hari yang
sama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Bersatu,
Muhyiddin, Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng, dan Presiden Amanah,
Mohamad Sabu, mengenai hal yang sama.
Adalah amat berbahaya dan merugikan apabila seorang
Tan Sri sanggup membuat kenyataan yang menafikan sumbangan anggota
angkatan tentera.
Dia sudah dikutuk dan telah memohon maaf. Tetapi saya
rasa adalah wajar gelaran beliau ditarik balik oleh kerana Yang
di-Pertuan Agong yang menganugerahkan gelaran tersebut adalah juga
pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Cukuplah bahas rentang khat. Maaf cakaplah kalau saya
kata ia tidak akan membawa ke mana-mana. Apa maknanya khat kalau
penguasaan tulisan dan bacaan jawi umpama reput atas jalan - hidup segam
mati tak mahu?
Mungkin Menteri Pendidikan kita ini genius sampai
kita yang berintelek biasa ini tak faham tindak-tanduk dia. Tapi bagi
saya, yang lebih membimbangkan bukan nak belajar atau tidak nak belajar
khat.
Yang lebih membimbangkan ialah mutu pendidikan kita
yang tidak menyerlah dan kegagalan dasar dwi-bahasa. Hari ini penguasaan
bahasa Inggeris lemah dan penguasaan bahasa Melayu tidak kuat.
Agamawan Import
Berbalik kepada isu pendakwah asing, saya harap pihak
berkuasa lebih teliti dan ketat mengenai kemasukan mereka tidak kira
apa agama atau kepercayaan mereka.
Kita kena ingat bukan orang Islam saja import
penceramah agama. Agama-agama lain pun buat juga. Jadi tidaklah adil
kita tumpukan kepada Zakir Naik atau Islam saja.
Saya cukup hairan pasal apa kita gila sangat nak
import penceramah macam Zakir Naik ini? Adakah ini bermakna sistem
pendidikan Islam kita gagal dan ilmuwan Islam kita hambar?
Justeru itu saya cadangkan pihak berkuasa seperti
Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen
kaji balik dasar kemasukan pendakwah, paderi dan sami asing dan pantau
kegiatan mereka dengan lebih teliti.
Mana-mana yang didapati melanggar syarat kemasukan,
khususnya membahayakan ketenteraman awam, wajib dikenakan tindakan
termasuk diusir keluar.
Dalam konteks ini saya faham dan bersimpati dengan
anggota Kabinet, termasuk orang muda yang sentiasa saya doakan menjadi
Perdana Menteri satu hari nanti, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang
mahu Zakir Naik dikeluarkan daripada negara kita.
Kalau Zakir Naik ini sehebat yang diuar-uarkan oleh
sesetengah pihak, saya yakin dia tidak akan menghadapi apa-apa bahaya
jika dia balik ke negara asalnya atau dia boleh pergi ke mana-mana
negara sekali pun.
Dia boleh pergi ke salah sebuah negara Islam yang
seratus peratus Islam macam Arab Saudi supaya dia boleh bebas berdakwah
tanpa menghasut mana-mana pihak.
Atau dia boleh pergi ke negara bukan Islam macam
Amerika Syarikat, Australia dan negara-negara Kesatuan Eropah di mana
syiar Islam sedang berkembang dengan pesat.
Tidak payahlah kita dalam Pakatan Harapan (PH)
bergaduh sesama sendiri dan berpecah-belah kerana isu Zakir Naik ini
kerana dia bukan ciptaan kita pun. Dia dibawa masuk dan, khabarnya,
dibagi taraf pemastautin tetap pada zaman kerajaan Barisan Nasional
(BN).
Saya rasa orang Islam Malaysia sekarang pecah-belah
bukan kerana politik saja tetapi juga kerana dogma agama yang di bawa
balik oleh penuntut kita yang belajar di negara-negara gagal (failed
states) dan oleh pendakwah asing dari negara-negara Islam yang gagal.
Sekali lagi saya merayu. Cukuplah kita membazirkan
masa ke atas perkara-perkasa remeh-temeh dan melayan idealisme songsang
dan pemikiran tidak rasional.
Maaf cakaplah kalau saya kata, cara sesetengah orang
kita mempertahankan Zakir Naik ini seolah-olah dia seorang lebih penting
daripada berjuta orang peneroka Felda, pekebun kecil Felcra, penanam
padi, nelayan dan penduduk PPRT.
Kerja bodoh; kera di hutan disusukan anak di rumah mati kebuluran.
Wallahuaklam.
* Artikel ini dipetik daripada laman blog kadirjasin.blogspot.com.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan