Ini kerana lesen enam bulan yang diberikan kepada Lynas akan tamat tempohnya pada 2 Mac ini.
Naib Presiden Lynas, Datuk Mashal Ahmad merangkap Pengarah Urusan syarikat berkata, mereka amat yakin lesen yang dimohon, akan diperbaharui oleh kerajaan.
“Kami amat yakin lesen Lynas akan diperbaharui sebab kami telah patuh dan penuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan dan hanya menunggu kerajaan Pakatan Harapan membuat keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan pada sidang akhbar usai Majlis perasmian Hari Ekonomi Nadir Bumi 2020, Forum Niaga 2020 anjuran Majlis Perunding Melayu (MPM) di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, Pahang, hari ini.
Menurut Mashal lagi, Lynas telah membuat pelaburan sebanyak USD1 bilion pada tahun 2012 dan setiap tahun, Lynas membelanjakan RM600 juta manakala kerajaan negeri Pahang pula telah membelanjakan RM670 bilion setiap tahun bagi operasi keseluruhan termasuk latihan kepada kakitangan kilang memproses nadir bumi.
Justeru jika lesen Lynas tidak diperbaharui, ia merupakan satu kerugian yang amat besar bukan sahaja dari segi pelaburan wang ringgit yang telah dikeluarkan tetapi kerugian dari segi pelabur.
“Sekarang, semua mata memandang ke arah kita dan bagaimanakah agaknya pelabur dari luar akan melabur jika kilang memproses nadir bumi ini ditutup?
“Lesen tiga tahun adalah normal dan jika ia tidak diperbaharui, Lynas akan ditutup. Kalau tutup, 650 orang kakitangan yang bekerja secara terus, akan hilang pekerjaan, 250 pekerja kontrak juga bakal hilang pekerjaan yang mana jumlah keseluruhan di sini, 900 orang kakitangan, hilang pekerjaan.
“Sejumlah 4,000 orang yang berurusan dengan Lynas akan terjejas dan hilang mata pencarian sekiranya lesen tidak disambung oleh kerajaan,” jelasnya.
Beliau yakin kerajaan Pakatan Harapan akan memperbaharui lesen seperti dahulu yang pernah dianugerahkan sebelum ini.
Terdahulu, dalam Forum Niaga 2020, Mashal menjelaskan, pada tahun 2012, sebuah syarikat dari Jerman, Siemen ingin membuka sebuah kilang bersebelahan dengan kilang Lynas yang memberi 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Kata Mashal, pelaburan yang boleh dibawa masuk oleh Siemen bernilai USD1 bilion dengan perolehan teknologi yang akan dimanfaatkan oleh rakyat tempatan.
Malangnya, kata Mashal, hasrat itu tidak tercapai kerana berlaku tunjuk perasaan atau demonstrasi yang menuntut agar Lynas ditutup dan dihentikan operasi.
“Apabila ini berlaku, bukan sahaja Siemen tidak jadi nak melabur tetapi ia turut memberi kesan kepada bakal pelabur lain yang pastinya bimbang untuk membuat pelaburan.
“Semenjak hari itu sehingga ke hari ini, tidak ada pelabur,” katanya yang berucap dihadapan 2,000 hadirin.
Disebabkan oleh keadaan itu, peluang untuk membuka kilang Supermagnet tidak kesampaian.
Eloklah kerajaan memikirkan sebelum membuat sesuatu keputusan, biarlah mengikut syarat dan berdasarkan fakta. – SM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan