Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman memberontak terhadap keputusan partinya Bersatu untuk membentuk kerajaan baru bersama Umno.
“Saya jadi ahli politik kerana di masa itu, negara saya dihina, dikeji dan dimalukan dengan salah laku dan rasuah di mata dunia.
“Saya percaya rakyat Malaysia berhak mendapat sebuah negara yang lebih baik. Negara yang bebas rasuah, dihormati dan bermaruah.
“Saya ingin tegaskan satu perkara, saya tidak akan sekali-kali bekerjasama dengan golongan perasuah, jauh sekali untuk mendirikan kerajaan bersama dengan mereka,” katanya dalam video yang dimuat naik di Twitter pagi ini.
Sebahagian anggota parlimen masih menyokong pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad yang bertegas parti itu tidak patut bekerjasama dengan Umno, memandangkan beberapa pemimpinnya kini berdepan perbicaraan kes rasuah yang besar.
Syed Saddiq mengaku pendiriannya itu mungkin tidak disenangi oleh sebahagian pihak, namun tegasnya, dia tidak berganjak.
“Ini bukan lagi soal parti atau majoriti, ini soal identiti dan integriti.
“Saya faham pendirian saya tidak akan disenangi oleh segelintir ahli politik. Tetapi ahli politik datang dan pergi. Rakyat Malaysia adalah tuan sebenar negara ini.
“Biar mati bermaruah, jangan hidup dijajah,” katanya.
Perpecahan dalam Bersatu
Pada Rabu, Mahathir menggambarkan partinya mungkin akan mencalonkan Muhyiddin sebagai perdana menteri yang tidak sepertinya, bersedia menerima Umno.
Mahathir mengadakan pertemuan dengan anggota parlimen Bersatu pagi semalam, tapi dilihat keluar lebih awal.
Hal itu selepas mereka tetap mahu melibatkan parti Umno dalam kerajaan baru yang ingin dibentuk dan Muhyiddin sebagai perdana menteri- itulah rancangan asal “Langkah Sheraton” yang digerakkan Ahad lalu.
Mahathir yang merupakan pengerusi Bersatu turut menyalahkan partinya sendiri atas kejatuhan PH selepas Muhyiddin membuat keputusan membawa Bersatu keluar dari PH dan berpakat dengan bekas anggota Parlimen PKR, BN, PAS, GPS dan Warisan dalam usaha membentuk kerajaan baru.
Rancangannya itu tidak mendapat sokongan dan menyebabkan anggota parlimen menarik balik sokongan mereka terhadapnya.
Semalam, Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya dalam satu kenyataan berkata parti itu memutuskan untuk mencalonkan Muhyiddin sebagai perdana menteri dalam satu Mesyuarat Ahli-ahli Dewan Rakyat Bersatu (termasuk sekumpulan blok Azmin dari PKR), yang “dihadiri oleh seramai 36 ahli Dewan Rakyat Bersatu”.
Bagaimanapun Syed Saddiq tadi menjelaskan dia tidak pernah menandatangani apa-apa sokongan terhadap Muhyiddin.
“Saya tak pernah tandatangan,” katanya.
Ini menjadikan perpecahan dalam Bersatu semakin ketara, selepas perpecahan turut dapat dilihat dalam kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan kepemimpinannya semalam.
Naib Ketua Pemuda Bersatu, Aizad Roslan, dalam satu kenyataan menyatakan sayap itu akan terus menyokong keputusan majlis tertinggi parti untuk menyokong Mahathir sebagai perdana menteri.
Katanya, mesyuarat semalam yang mengisytiharkan 36 anggota Parlimen menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri, tidak mewakili parti kerana ia diputuskan hanya menerusi mesyuarat anggota Parlimen dan bukan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
Semalam, ahli MPT Bersatu A Kadir Jasin yang dikenali sebagai penyokong tegar Mahathir, turut mendakwa mesyuarat tersebut tidak disokong oleh MPT.
Perpecahan turut dapat dilihat di peringkat negeri, apabila di Johor contohnya, Bersatu, BN dan PAS, dengan restu Muhyiddin, telah membentuk kerajaan negeri baru, dengan Pengerusi Umno Johor Hasni Mohammad dilantik sebagai menteri besar.
Berbeza dengan yang berlaku di Kedah, timbalan presiden Bersatu merangkap menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir mengekalkan kerjasama dengan PH.
LIHAT TWITTER DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan