HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Februari 2020

Gabungan agama bukan Islam gesa PM letak jawatan, adakan PRU

Ahli MCCBCHST yang diketuai Ketua Biskop Julian Leow (2 
dari kanan) dalam satu pertemuan dengan ahli Parlimen tahun lalu.
 
PETALING JAYA: Gabungan terbesar mewakili agama bukan Islam di Malaysia meminta Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum, bukannya menggunakan cara tidak demokratik dengan menubuhkan kerajaan pintu belakang.

Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) turut merayu Yang di-Pertuan Agong menggunakan kuasa budi bicaranya di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengarahkan pembubaran Parlimen serta mengadakan pilihan raya umum.

“MCCBCHST berjanji untuk taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan negara kita yang tercinta.
Sebagai rakyat yang prihatin, marilah berdoa untuk perpaduan ke arah kestabilan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia turut menggesa ahli politik meletakkan kepentingan negara mendahului kepentingan diri dan semua wakil rakyat menghormati kedaulatan undang-undang serta mandat rakyat kepada PH pada pilihan raya umum 2 tahun lalu.

Katanya, khabar angin mengenai pembentukan Pakatan Nasional mungkin untuk melindungi kepentingan diri kerana ada pemimpin yang sedang berdepan siasatan dan pendakwaan berkaitan rasuah.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden MCCBCHST, Ketua Biskop Julian Leow Beng Kim, Presiden Majlis Gurdwara Malaysia, Sardar Jagir Singh, Presiden Hindu Sangam Malaysia, RS Mohan Shan,
Presiden Persekutuan Persatuan Taoist Malaysia, Tan Hoe Chieow dan Persatuan Penganut Buddha Malaysia Venerable Sing Kan.

Semalam, Lembah Klang “sibuk” dengan cakap-cakap Mahathir akan memimpin satu langkah politik untuk menyingkirkan DAP daripada PH yang memenangi pilihan raya umum pada Mei 2018.

Ia disusuli pertemuan pemimpin PPBM, PAS, Umno dan mereka yang bersekutu dengan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Penyokong Anwar Ibrahim pula mengadakan majlis solat hajat dan doa selamat di kediaman presiden PKR itu di Bukit Segambut malam tadi, di mana beliau mengutuk cubaan untuk mengkhianati PH

Tiada ulasan: