HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Februari 2020

SPR sedia hadapi sebarang kemungkinan

HASPAIZI ZAIN




Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia melaksanakan tugas berdasarkan kehendak undang-undang sekiranya ada keperluan pilihan raya umum (PRU) diadakan ekoran perkembangan semasa politik tanah air

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun, berkata suruhanjaya itu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

"SPR akan laksanakan tugas mengikut kehendak undang-undang, kita tidaklah dalam keadaan siap sedia in the sense of we are on full alert.

"Tetapi sekiranya perlu SPR akan laksanakan tugas mengikut kehendak undang-undang," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Suhu politik negara semakin hangat semalam apabila timbul spekulasi pembentukan kerajaan baru bagi menggantikan Pakatan Harapan semakin hampir.

Sepanjang semalam, beberapa pertemuan politik berlaku sebelum wakil enam pihak - kem Mohamed Azmin Ali dalam PKR, Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Warisan dan Bersatu - bertemu Yang di-Pertuan Agong.

Sejumlah anggota parlimen kemudian berkumpul di Hotel Sheraton Petaling Jaya.

Satu sidang media bagi mengumumkan pembentukan kerajaan baru pada mulanya dijangka dibuat, tetapi tiada sebarang pengumuman dibuat.

Jika gabungan baru itu diwujudkan, ia kemungkinan besar tidak akan menyertakan DAP, Amanah dan PKR memandangkan ketiga-tiga parti itu dilihat tidak terbabit dengan pergerakan politik yang berlaku semalam.

Hari ini, empat pemimpin PH termasuk Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.


Tiada ulasan: