HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Februari 2020

Peluang untuk PM baharu lantik menteri Kabinet berwibawa

fazleen safina

 

Mesti ambil kira pembabitan alim ulama, tokoh masyarakat dan NGO


BANGI – Peralihan politik yang berlaku dalam negara ketika ini adalah peluang terbaik untuk Perdana Menteri baharu – belum diumumkan – melantik mereka yang benar-benar layak dan berwibawa sahaja untuk memegang jawatan dalam Kabinet.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Haji Aminuddin Yahaya berkata, pemilihan menteri-menteri dan anggota pentadbiran baharu juga mestilah mengambil kira faktor mempunyai rekod bersih dan tidak terpalit dengan pelbagai skandal.

“Pandangan rakyat serta kepentingan orang Melayu dan Bumiputera serta agama Islam mesti menjadi keutamaan.

“Inilah masanya untuk kita memperbaiki keadaan. Jangan biarkan kesilapan berlaku buat kali kedua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berkata, kerajaan baharu yang bakal dibentuk pada masa akan datang juga harus mengambil kira pembabitan alim ulama, tokoh masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, ianya bagi memastikan komposisi kerajaan dapat merangkumi setiap lapisan rakyat Malaysia.

“Ini penting untuk proses semak dan imbang yang sihat lagi berkesan,” katanya.

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali semalam mengumumkan Yang di-Pertuan Agong bersetuju untuk membatalkan pelantikan menteri-menteri selaras dengan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah membatalkan pelantikan mereka atas nasihat Dr Mahathir sebagaimana yang diperuntukkan Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan.

“Tugas-tugas anggota pentadbiran (merangkumi timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik) terhenti pada tarikh yang sama,” katanya.

Lantaran itu, pembentukan kerajaan baharu akan di laksana – pelantikan Perdana Menteri dan Kabinet – selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan petang semalam.

Sebelum ini, Pakatan Harapan membentuk kerajaan dengan 139 kerusi menerusi komposisi empat parti komponen dengan sokongan Parti Warisan Sabah (WARISAN) serta UPKO pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, kini hanya mempunyai 102 kerusi.

Parti memerintah memerlukan sekurang-kurangnya 112 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan

Tiada ulasan: