HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Februari 2020

Rehat sebentar buat Anwar-Azizah, meraikan cinta, berbalas tweet

MALAYSIAKINI




Ketika debaran politik negara berterusan, Presiden PKR Anwar Ibrahim dan isterinya Wan Azizah Ismail hari ini meraikan ulang tahun perkahwinan mereka ke-40.

Dua pemimpin politik itu sempat meluangkan masa dalam acara ringkas memotong kek bersama rakan-rakan rapat.

Dalam gambar dimuat naik Anwar di media sosial, suasana kelihatan amat ceria dengan senyuman dan gelak ketawa.

Mereka kelihatan amat mesra, antaranya berpegangan tangan memotong kek ulang tahun perkahwinan.

Orang kuat Anwar, bekas menteri Saifuddin Nasution, anggota parlimen Sungai Petani Johari Abdul dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew, turut hadir.
 
Lokasi sambutan dan butiran lanjut acara tidak dinyatakan.

Mereka juga saling memuat naik gambar-gambar lama di media sosial masing-masing dengan mesej-mesej cinta buat pasangan.

"Empat puluh tahun penuh kebaikan, 40 tahun penuh keberanian, 40 tahun penuh kesetiaan dan 40 tahun penuh ketabahan.

"Melalui pelbagai onak dan duri, aku berjaya hari ini kerana cinta abadi dan rahmat Allah.

"Selamat hari ulang tahun @drwanazizah (Azizah), moga Dia (tuhan) terus anugerahkan hari-hari mendatang buat kita bersama," tulisnya dalam bahasa Inggeris.
 
Dalam tweet yang lain, Anwar turut menggunakan tanda pagar #duniaakhirat dan #tiljannnah (sampai ke syurga).

Azizah juga sempat bermadah status cintanya kepada Anwar, juta di Twitter.

“Biar ribut dan badai datang melanda. Biar hujan dan panas namun kita tetap bersama.

"Biar apa pun yang datang, setiaku hingga hujung nyawa,” tulis ibu kepada enam orang cahaya mata.
 
Pasangan itu terkenal melalui pelbagai pengalaman pahit hidup disebabkan penyertaan Anwar dalam politik.

Ia menyebabkan Azizah, yang mempunyai latar belakang dalam bidang perubatan, terjun secara tidak sengaja dalam dunia politik selepas si suami berdepan tuduhan liwat, dipecat dan dipenjarakan.

Daripada seorang suri rumah, Azizah menjadi pemimpin politik berwibawa sehingga dilantik menjadi timbalan perdana menteri wanita pertama - jawatan sama yang pernah disandang suaminya ketika berada dalam kerajaan.


Tiada ulasan: