HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Februari 2020

LTTE: Sekali Lagi AG Hina Sistem Perundangan Negara

UMNO ONLINE
 



KUALA LUMPUR – Apa sudah jadi… Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor Amin Shukor membidas tindakan Jabatan Peguam Negara yang membuat keputusan memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Jelas beliau, tindakan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas ini bukan sahaja mencalar imej perundangan negara tetapi juga imej Polis diRaja Malaysia (PDRM).

“Alasan Tommy keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang dihadapi mereka tidak dapat diterima sama sekali.

“Tindakan ini juga sekaligus secara tidak langsung akan menyebabkan semakin ramai berani untuk terlibat dengan pengganas.

“Kononnya memang kelaziman untuk mempunyai idola dan bukan sekadar bintang pop, ahli sukan atau pelakon. Kalau itu alasan yang diberi, bagaimana pula dengan kes Aisyah yang dipenjarakan kerana mempunyai buku berkaitan IS? Seorang juruteknik dan seorang peniaga turut dipenjarakan kerana mempunyai buku dan video berkaitan IS? Kenapa ada unsur pilih kasih?,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Amin, setelah pihak PDRM bekerja keras cuba membenteras kegiatan pengganas di negara ini, Tommy pula cuba ‘menyalahguna kuasa’ dengan membebaskan mereka begitu sahaja.

“Ini adalah satu tamparan hebat kepada pihak berkuasa yang bersungguh-sungguh menjaga keamanan negara tetapi akhirnya kerja mereka ini sia-sia hanya kerana ada campur tangan politik. Ini benar-benar menghina PDRM.

“Apa akan jadi dengan keselamatan negara jika perkara ini berterusan? Adakah keselamatan negara dan rakyat tidak penting di mata pemimpin sekarang ini?

“Jangan sesekali isu ini dilihat dari aspek sentimen perkauman tetapi yang amat merisaukan saya adalah keselamatan negara dan rakyat. Kerajaan PH melalui Peguam Negara telah memperjudikan keselamatan seluruh rakyat Malaysia,” bidas beliau.

Untuk rekod, pada 2016, seorang pelajar sebuah institut kemahiran dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi, selepas mengaku bersalah memiliki bendera berkaitan kumpulan militan IS.

Pada April 2017, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Aishah kerana didapati bersalah atas dakwaan memiliki 12 buku mempromosi fahaman militan.

Tahun yang sama, seorang juruteknik dijatuhi hukuman penjara tiga tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi atas pertuduhan memiliki 29 imej dan tiga video berkaitan kumpulan pengganas IS.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak yang menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Taufiq Abdul Latif, 27, berkata walaupun imej dan video yang disimpan itu adalah untuk tontonan sendiri tetapi ia tetap menjadi kesalahan.

2018, seorang peniaga dihukum penjara 4 tahun oleh Mahkamah Tinggi kerana memiliki 27 naskhah majalah mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas IS tahun lalu. – UMNO ONLINE

Tiada ulasan: