MALAYSIAKINI
Ahli parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali dan 10 ahli parlimen lain telah meninggalkan PKR menyeru untuk sebuah "rekonsiliasi nasional" di bawah pimpinan perdana menteri sementara Dr Mahathir Mohamad.
"Rekonsiliasi ini akan mengendurkan perebutan kuasa di kalangan parti-parti politik dan memungkinkan penggemblengan tenaga untuk menjayakan matlamat bersama dan memupuk kebaikan yang lebih besar untuk negara (fostering greater good for the nation).
"Rekonsiliasi nasional akan terlaksana di bawah pimpinan Mahathir bersama dukungan semua pihak yang mahukan Malaysia stabil dan terus maju menangani cabaran bangsa," kata mereka dalam kenyataan bersama, hari ini.
Selain Azmin, sepuluh ahli parlimen itu ialah Zuraida Kamaruddin (Ampang), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal) Rashid Hasnon (Batu Pahat), Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).
Azmin yang juga bekas timbalan presiden PKR menyorot bahawa rakyat bangkit menumpaskan kleptokrasi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 dan kini mahukan kerajaan yang stabil.
"Kerajaan yang memberikan tumpuan untuk menyelesaikan masalah rakyat. Memulihkan ekonomi, menjana pertumbuhan, mencipta pekerjaan, melaksana dasar-dasar agar kemakmuran negara dikongsi bersama tanpa mengira kaum dan wilayah – bukankah ini aspirasi rakyat?
"Untuk memenuhi aspirasi ini ahli-ahli politik perlu bangkit meninggalkan politik kepartian yang sempit. Aspirasi rakyat perlu mengatasi kepentingan sempit kelompok," katanya.
Azmin, yang dikaitkan sebagai individu yang menyusun gerakan penjajaran semula kuasa yang menjadi antara punca tumbangnya PH, dipecat dari PKR pada 24 Feb. Zuraida turut dipecat pada hari sama.
Pada hari itu juga, sembilan lagi ahli parlimen PKR meninggalkan parti.
Azmin yang merupakan antara penyokong kuat Presiden PKR Anwar Ibrahim menyertai PKR pada tahun 1998 sebelum menjadi timbalan presiden parti tersebut pada 2012.
Namun, beliau dilihat tidak sehaluan dengan Anwar yang membawa kepada konflik dalaman yang berpanjangan dalam PKR.
Krisis politik yang sedang berlaku tercetus selepas kumpulan Azmin bersama-sama Umno, PAS, Bersatu, GPS, dan menurut laporan Warisan, cuba mewujudkan gabungan baru, dengan Mahathir sebagai perdana menteri.
Ia bagi menggagalkan persetujuan PH untuk Mahathir menyerahkan jawatan itu kepada Anwar selepas sidang Apec pada November ini.
Bagaimanapun langkah itu gagal apabila Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan kemudiannya sebagai pengerusi Bersatu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan