HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Februari 2020

Rakyat Malaysia tertanya-tanya apa sebenarnya terjadi?

Wartawan MalaysiaGazette
MGF230220_MESYUARAT-PPBM07-2
Perdana Menteri merangkap Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad melambaikan tangan kepada para media selepas pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Ibu Pejabat PPBM, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK
 

KUALA LUMPUR – Sejak malam tadi puluhan maklumat yang tidak diketahui kesahihannya bertebaran di media sosial. Ayatnya, sesuatu yang besar akan berlaku esok (hari ini).

Dan pagi ini tanda-tanya semakin menjadi-jadi apabila lima parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR, UMNO, Pas  dan GPS masing-masing mengadakan mesyuarat peringkat pemimpin tertinggi.

Media tempatan dan antarabangsa mula berkumpul di Yayasan Selangor tempat berlangsungnya mesyuarat MPT Bersatu di Yayasan Selangor dan Hotel Sheraton di Petaling Jaya di mana Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengadakan mesyuarat.

Kedua-dua lokasi itu berdekatan.

Selepas enam jam bermesyuarat, Dr Mahathir meninggalkan Yayasan Selangor tanpa membuat sebarang ulasan dan hanya tersenyum sambil melambai.

Kira-kira pukul 4 petang pula UMNO pula mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi khas yang dipengerusikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Di Sarawak Gabungan Parti Sarawak turut mengadakan mesyuarat di Kuching dan kemudian Ketua Menteri Sarawak kemudiannya dikatakan Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg turun ke Kuala Lumpur untuk menghadiri satu lagi mesyuarat di sini.

Beliau kemudian dikatakan meninggalkan mesyuarat tidak lama selepas itu dan pergi ke Istana Negara.

Pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas  kemudiannya hadir di Hotel Sheraton untuk bersama-sama dengan para pemimpin PKR yang masih belum selesai mesyuarat sejak pagi tadi lagi.

Ia termasuk Zahid, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Ahmad Maslan, Datuk Ismail Sabri dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pelbagai cerita dan berita disebarkan di media sosial rata-rata merumuskan apa yang terjadi hari ini adalah rencana pembentukan kerajaan pakatan nasional yang akan menyaksikan perubahan besar dalam politik tanah air.

Lebih daripada itu turut tular senarai yang didakwa anggota Kabinet baharu.

Di kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berlangsung solat hajat dan bacaan Yaasin.

Yang pasti rakyat tertanya-tanya apa sebenarnya terjadi terutamanya selepas Dr Mahathir mengumumkan bahawa terpulang kepada beliau untuk menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atau pun tidak.

Rakyat mahukan negara yang aman dan sejahtera. Para pemimpin yang dipilih oleh rakyat mestilah melaksanakan amanah yang diserahkan oleh rakyat kepada mereka. Tempoh hampir dua tahun selepas PRU-14 cukup lama untuk rakyat melihat para pemimpin terlalu berpolitik sehingga mengabaikan politik perut rakyat. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: