HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Februari 2020

LANGSUNG: Pengerusi Umno Johor angkat sumpah MB baru

WARTAWAN MALAYSIAKINI




Jumaat hari ini, bermakna kemelut perebutan kuasa politik ekoran penjajaran kuasa yang cuba dilakukan sejak Ahad lalu memasuki hari keenam.

Semalam perdana menteri interim, Dr Mahathir Mohamad, berkata hal itu akan cuba diselesaikan di Dewan Rakyat melalui sidang khas pada 2 Mac.

Bermakna, keadaan tidak menentu sekarang akan berlanjutan sekurang-kurangnya untuk empat hari lagi.

Malaysiakini sekali lagi membawa secara langsung perkembangan ini.

LANGSUNG
 
5.25 petang: Rumah Muhyiddin, Bukit Damansara - Anggota baru Bersatu iaitu Zuraida Kamaruddin, Saifuddin Abdullah dan Willie Mongin kini berada di rumah presiden parti itu.

Turut bersama ialah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Redzuan Yusof.



5.15 petang: Majlis Presiden PH kekal yakin Anwar Ibrahim memiliki sokongan terbesar anggota parlimen yang ditemu duga Yang di-Pertuan Agong beberapa hari lalu.

"Majlis Presiden percaya bahawa Anwar wajar diberi peluang untuk menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membuktikan keyakinan majoriti anggota parlimen terhadap beliau," kata PH dalam kenyataan.

PH berkata mereka meletakkan kepercayaan kepada Agong untuk mencari penyelesaian dalam proses pelantikan perdana menteri.



5 petang: Pengerusi Umno Johor Hasni Mohammad mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baru.

Beberapa sumber yang dekat dengan istana berkata acara itu diadakan di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Terdahulu, beberapa adun Umno dan Bersatu yang dihubungi Malaysiakini menutup mulut berkenaan acara angkat sumpah tersebut.



4:45 petang: Dr Mahathir Mohamad enggan menjawab sebarang soalan dikemukakan wartawan semasa beliau ditemui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur petang ini. 

Perdana menteri interim itu ditemui media ketika beliau meninggalkan suatu persidangan antarabangsa.

Antara soalan yang ditanya kepada Mahathir ialah sama ada beliau bersetuju atau tidak apabila Bersatu mencalonkan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri untuk dipertimbangkan oleh Agong.  


4.35 petang: Sumber yang dekat dengan kepemimpinan tertinggi Bersatu mengesahkan 10 ahli parlimen - diketuai Azmin Ali - menyertai parti itu hari ini.

Satu-satunya ahli parlimen yang tidak menyertai Bersatu ialah wakil kawasan Ranau, Jonathan Yasin.

Untuk rekod, sebelum ini 11 ahli parlimen PKR mengumumkan keputusan mereka meninggalkan parti itu pada awal minggu ini.

Bagaimanapun semalam - melalui hantaran di Facebook - Jonathan menafikan beliau keluar PKR.
Hantaran itu kemudian dipadam.

Tedahulu kira-kira jam 3.30 petang tadi, seorang pembantu Zuraida Kamaruddin menafikan ahli parlimen Ampang itu sudah menyertai Bersatu.



4.18 petang: Bersatu bersetuju mencalonkan presiden mereka, Muhyiddin Yassin, sebagai perdana menteri untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong.

Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya, berkata hal itu diputuskan dalam mesyuarat ahli parlimen mereka bersama Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Al Bukhary, Kuala Lumpur tadi.

Bagaimanapun Marzuki tidak menyatakan sama ada keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara atau tidak, namun menyatakan 36 ahli parlimen Bersatu menghadiri mesyuarat tersebut.
Untuk rekod Bersatu hanya mempunyai 26 wakil di Dewan Rakyat sebelum ini. Tambahan 10 ahli parlimen itu dipercayai merujuk kepada kumpulan Azmin Ali yang memang disebut-sebut bakal menyertai parti berkenaan.



4 petang: Setakat ini Yang di-Pertuan Agong masih belum dapat memutuskan ahli parlimen mana yang mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Hal itu disahkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadli Shamsuddin, dalam kenyataannya sebentar tadi.

Kata Ahmad Fadli, tindakan seterusnya yang akan diambil Agong ialah berhubung dengan semua parti yang memiliki wakil di Dewan Rakyat.
Kata Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan dengan keputusan speaker Dewan Rakyat untuk tidak memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin depan.



3.45 petang: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, dan Panglima Angkatan Tentera Affendi Bujang, selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Bercakap kepada media selepas itu, Abdul Hamid berkata, mereka hadir atas titah perintah Agong yang mahukan taklimat mengenai tahap keselamatan negara ketika ini.

"Alhamdullilah, kami dah pun sempat taklimatkan, keadaan di seluruh negara tenang, cuma suhu meningkat.

"Saya menyeru semua pemimpin politik dan pengikut mereka supaya jalankan kegiatan politik mereka mengikut perlembagaan, dengan penuh tanggungjawab, elakkan kenyataan provokatif dan kepada orang ramai, hentikan spekulasi tak logik," katanya.
Beliau juga berkata polis sudah membuka kertas siasatan mengenai tindakan pihak tertentu yang mendakwa mengetahui pelbagai perkara dalam istana.

"Bagaimana orang luar boleh tahu (macam-macam) dengan jumlah undi dan sebagainya.

"Jangan main-main dengan perkara macam ini," kata Abdul Hamid yang turut memaklumkan beliau sudah mengarahkan polis mengambil tindakan yang sewajarnya.

Menurut beliau lagi, walaupun pihak berkuasa menghormati hak bersuara, ia mestilah dalam lingkungan undang-undang negara.

"Hati-hati jangan sampai melepasi batasan undang-undang," katanya.



3.30 petang: Bekas naib presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, tidak mengemukakan sebarang borang permohonan menyertai mana-mana parti, kata seorang pembantunya.

Bekas setiausaha politik ahli parlimen Ampang itu, Nor Hizwan Ahmad, berkata setakat ini Zuraida masih ahli parlimen bebas selepas PKR memecatnya pada 24 Feb lalu.

"Berdasarkan maklumat yang saya ada, setakat ni perkara itu (penyertaan ke mana-mana parti) masih dalam perbincangan, sebab semua orang tahu beliau dipecat parti.

"Jadi beliau pada masa ini seorg ahli parlimen yang menganggap dirinya bebas, cuma cenderung kepada kepemimpinan perdana menteri (Dr Mahathir Mohamad)," katanya.

Nor Hizwan juga menafikan Zuraida, Azmin Ali serta beberapa bekas pemimpin PKR bertemu dengan Mahathir lewat pagi tadi sebagai anggota Bersatu.

"Mungkin beliau melihat kawasan sekitar Yayasan Al Bukhary.... saya tak ada maklumat penuh, jadi kita tunggu kenyataan daripada beliau sendiri," katanya.


3.25 petang: Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof, dipanggil sekali lagi ke Istana Negara.

Pagi tadi bekas hakim kanan itu sudah mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Perkembangan itu berlaku sejurus selepas Mohamad Ariff memutuskan tiada sidang Dewan Rakyat akan diadakan Isnin depan kerana surat pemakluman mengenainya tidak mengikut peraturan.

“Mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3), pemberitahuan dan tarikh mesyuarat akan dikeluarkan oleh saya selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

“Setakat ini tiada notis dikeluarkan,” katanya.

SAMBUNGAN BERITA KLIK DI SINI


Tiada ulasan: