HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Februari 2020

LANGSUNG: Rais Yatim sindir MP agar tak 'pusing ke belakang'

PASUKAN MALAYSIAKINI



LANGSUNG | Malaysiakini melaporkan perkembangan terkini mengenai keadaan politik semasa berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan semalam.

Jika anda suka laporan kami, sokong media bebas dengan melanggan Malaysiakini dengan harga serendah RM0.55 sehari. Maklumat lanjut di sini.



Kerajaan Selangor masih utuh, kata MB

12.15 tengah hari: Selepas mengadap Sultan Selangor, Menteri Besar dan Pengerusi PKR Selangor, Amirudin Shari berkata pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan di negeri itu masih utuh.

Amiruddin berkata beliau bertemu dengan Pengerusi bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari sebelum pertemuan di istana.

Pendirian Bersatu Selangor sama ada akan menyertai kerajaan negeri atau sebaliknya masih belum jelas.

Walaupun tanpa Bersatu, gabungan PKR, DAP dan Amanah masih mempunyai majoriti yang selesa di Dun Selangor.



12.15 tengah hari: Istana Negara - Anggota media yang berada di pejabat pengurusan di Istana Negara diberi taklimat khas oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, mengenai susunan acara hari ini yang dijadualkan bermula jam 2.30 petang ini.



Rais Yatim sindir MP jumpa Agong agar tak 'pusing ke belakang'

12.10 tengah hari: Anggota majlis tertinggi Bersatu, Rais Yatim menyindir  Anggota Parlimen yang mengadap Yang di-Pertuan Agong hari ini agar tidak "pusing ke belakang' untuk menyokong semula Dr Mahathir Mohamad selepas kerajaan baru dibentuk.

"Kini kerajaan PH dah tak ada. Tun hanya sebagai PM sementara sebelum PM berkabinet baru dilantik Yang di-Pertuan Agong.

"Bila Tun M dapat sokongan majoriti (lebih 112 kerusi) beliau boleh tubuh kerajaan baru, tapi bukan kerajaan PH lagi. Harap MP yang berdepan YDPA hari ini tak pusing belakang," katanya di Twitter.

Yang di-Pertuan Agong dijangka sedang menilai sokongan anggota parlimen hari ini, untuk melihat apakah kerajaan baru dapat dibentuk.



Wan Azizah tak jumpa Dr M, hanya kemas barang

11.54 pagi: Pejabat PM, Putrajaya - Presiden PKR, Nurul Izzah, bercakap kepada Malaysiakini, berkata beliau dan ibunya tidak bertemu dengan Dr Mahathir Mohamad di Pejabat Perdana Menteri (PMO)

Sebaliknya, Nurul Izzah berkata beliau hanya membantu ibunya mengemas barang-barang di Pejabat Timbalan Perdana Menteri.

"Kami bersama ibu mengambil barang-barang dari pejabat TPM dan kemudian kami beralih ke Kementerian Wanita (untuk mengemas barang-barang)," katanya.

Nurul Izzah menambah ibunya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada kakitangan yang telah berkhidmat di bawah kementeriannya.



Umno tolak pembentukan kerajaan dengan DAP

11.45 pagi: Ketua Penerangan Umno, Shamsul Anuar Nasarah berkata partinya menolak pembentukan kerajaan baru dengan DAP.

"DAP parti yang sangat rasis dan tidak boleh dipercayai. Kerosakan negara selepas PRU 14 dan kehancuran Kerajaan PH ini sebenarnya berpunca daripada DAP. DAP antara penyebab utama kegagalan Pakatan Harapan," katanya dalam satu kenyataan.

Shamsul (gambar) juga mengecam setiausaha agung DAP Lim Guan Eng kerana menyalahkan penglibatan Umno dalam menghancurkan kerajaan Pakatan Harapan.

"Kehancuran Kerajaan PH adalah disebabkan oleh pimpinan PH sendiri terutama DAP," katanya.



Selamat bertugas, kata Maszlee kepada wartawan

11.45 pagi: Istana Negara - Anggota Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik menyapa anggota media yang bertugas di luar Istana Negara, sebelum memasuki pekarangan istana.

Bekas menteri pendidikan itu enggan menjawab sebarang soalan mengenai keadaan politik yang sedang berlaku sekarang, dan hanya mengatakan "selamat bertugas."



Azmin memasuki PMO

11.39 pagi: Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya - Kenderaan yang membawa bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein dilihat meninggalkan Pejabat Perdana Menteri.

Sementara itu, kenderaan yang membawa bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali memasuki kompleks itu.



Selangor aman sejahtera, kata MB

11.27 pagi: Istana Bukit Kayangan - Selang beberapa minit selepas pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari pula dilihat keluar dari pekarangan Istana Bukit Kayangan Shah Alam.

Beliau yang ditemui pemberita enggan mengulas lanjut namun menjelaskan negeri Selangor dalam keadaan aman dan sejahtera.

“Selangor Aman Sejahtera,” katanya.

Selepas itu, kenderaan milik Amirudin terus dipacu laju meninggalkan pekarangan Istana Bukit Kayangan dan disusuli kenderaan milik Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo.



Wan Azizah, Nurul Izzah dilihat keluar dari PMO

11.24 pagi: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dilihat meninggalkan PMO menaiki kereta berasingan.

Pemandu yang membawa Wan Azizah dilihat memperlahankan kenderaan dan bekas TPM itu melambai tangan kepada media yang menunggu di luar pekarangan PMO.



Umno Johor yakin boleh tubuh kerajaan baru

11.20 pagi: Umno Johor yakin mereka boleh membentuk kerajaan negeri yang baru dengan Bersatu.

"Kita perlu mendapat satu dari PKR, ini dijanjikan kepada kita oleh bos mereka dari KL. Mungkin ada lebih daripada satu," kata Pengerusi Umno Johor Hasni Mohammad kepada Malaysiakini.

Pada masa ini PKR, DAP dan Amanah mempunyai 28 kerusi DUN di Johor, begitu juga Bersatu, Umno, MIC, dan PAS.



Muhyiddin tiba di PMO

11.17 pagi: Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin tiba di Pejabat Perdana Menteri selepas dua jam meninggalkan kediaman perdana menteri di Seri Kembangan pagi tadi.



Zahid, Izzah dan Wan Azizah di PMO

11.00 pagi: Putrajaya - Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi antara mereka yang berada di kompleks Pejabat Perdana Menteri.

Turut hadir ialah penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan naib presiden Nurul Izzah Anwar.



Kumpulan Azmin dakwa tunggu isyarat untuk mengadap Agong

11.00 pagi: Kumpulan penyokong bekas Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mendakwa mereka sedang menunggu isyarat untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut Anggota Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin, mereka sedang menunggu di di sebuah hotel di Kuala Lumpur sebelum bergerak ke Istana Negara.

“Kami tunggu arahan,” katanya ringkas kepada pemberita di hotel Sofitel.



Ahli Parlimen Sri Gading memasuki istana

11am: Istana Negara - Anggota Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh, yang juga bekas timbalan menteri wilayah persekutuan, memasuki istana dengan menaiki kereta Perodua Bezza.



10:47 pagi: Istana Negara - Peguam Negara, Tommy Thomas tiba di Istana Negara. Kenderaaannya dilihat memasuki pekarangan istana melalui pintu 2.

Difahamkan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat tiba lebih awal sekitar jam 10.30 pagi.

Kedua-dua mereka memohon mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kedatangan Tengku Maimun dimaklumkan oleh seorang pegawai polis yang ditempatkan di luar pintu 2 istana.

Sambungan berita sila klik di sini

Tiada ulasan: