HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Februari 2020

Penantian Anwar berakhir hari ini

HARAKAHDAILY
 


KECAMUK di Kuala Lumpur sejak semalam turut dirasai di seluruh negara. Malah membahang sehingga merentasi sempadan negara.

Teori kerajaan sepenggal benar-benar berada di hadapan mata kita sekarang. Sentimen itu bertiup sejak 2018. Namun andaian itu masih juga tersasar.

Usia kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya sekitar setahun 9 bulan. Paling pendek dalam sejarah tanah Malaya.

Cuma lebih panjang sedikit berbanding usia kerajaan Pakatan Rakyat Perak pada 2008.

Namun ketika BN, PAS, Warisan, Bersatu, PBB dan GPS berkumpul malam tadi, lain pula jadinya hari ini.

Tiba-tiba Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan meletak jawatan. Ia sukar ditelah. Sekarang terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri (PM) ke-8.

Bagi pemerhati politik dari UUM, Dr Kamarul Zaman Yusof perletakkan jawatan Dr Mahathir ada helah di sebaliknya. Pertama tidak mahu dirinya dijadikan kambing hitam.

Kedua, janji politik untuk serah jawatan PM kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak berbangkit lagi. Sekarang Dr Mahathir terselamat daripada mungkir janji.

Apapun ternyata helah politik Bapa Malaysia Moden itu sukar dibaca. Dr Mahathir sekarang mengalih bebanan kepada istana.

Pengumuman meletak jawatan PM dikatakan muncul selepas Anwar dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menemui Dr Mahathir pagi tadi.

Biarpun Dr Mahathir meletak jawatan, nampaknya bukan lagi PM-8 menjadi milik Anwar. Ini kerana Bersatu yang diketuai Dr Mahathir juga mengumumkan keluar daripada PH.

Ini bermakna PH hanya tinggal 112 kerusi parlimen. Dan kalau diambil kira Warisan juga menjejaki Dr Mahathir PH susut lagi kepada 103.

Jumlah itu berada di bawah 112 simple majority.

Dan sekiranya diambil kira berlaku pula taawun Bersatu, Warisan dan GPS bersama Muafakat Nasional maka simple majoriti menjadi milik gabungan baharu pula.

Malah ada analisis menyebut pakatan baharu (Pakatan Nasional) sekarang menggenggam di tangan kira-kira 124 ahli parlimen.

Apa yang pasti Kerajaan PH tidak wujud lagi. Tindakan berani mati Bersatu keluar PH menamatkan penantian Anwar. Ditambah pula PKR berpecah dua.

Tindakan Anwar memecat Dato’ Seri Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin menambah lagi duka. Azmin turut disertai 11 Ahli Parlimen PKR.

Ditambah lagi Warisan yang diketuai Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal juga berada di belakang Dr Mahathir.

Penantian fasa kedua Anwar berakhir hari ini. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: