Datuk Seri Sharkar Shamsudin
TEMERLOH – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Sharkar Shamsudin berkata, bubar Parlimen adalah jalan terbaik bagi mengatasi kemelut politik yang melanda negara sekarang ini.
Jelas beliau, kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat tidak relevan kerana gabungan empat parti dalam Pakatan Harapan (PH) pun Tun gagal untuk mengawalnya maka bagaimana untuk beliau mengawal kerajaan perpaduan yang bakal menghimpunkan hampir 10 parti.
“Seruan dan pelawaan supaya semua pemimpin dan ahli parti Melayu untuk bergabung dalam usaha menyatukan orang Melayu bagi memastikan orang Melayu terus kuat adalah plot yang dirancang sendiri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Plot yang dirancang itu adalah demi Melayu dan apabila ada perancangan ke arah tersebut tentunya UMNO sebagai parti keramat orang Melayu menyambut salam berkenaan demi orang Melayu dan agama Islam.
“Begitu juga PAS yang membentuk Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO. MN menerima pelawaan itu demi agama, bangsa dan negara. Bukan bagi merebut kuasa jadi, salahkah MN berbuat demikian? Namun, plot yang dirancang oleh Mahathir itu tidak menjadi kenyataan sebaliknya apa yang berlaku, kerajaan PH yang diterajui Mahathir tumbang ekoran kemelut dan perbalahan politik yang berlaku dalam PH sendiri.
“Bukan UMNO yang mendesak Mahathir meletak jawatan, tetapi parti dalam gabungan PH sendiri.Akibat desakan itu, Mahathir akhirnya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Selepas keputusan itu dibuat, PPBM yang diterajui Mahathir mengumumkan keluar daripada PH sekali gus menyebabkan kerajaan PH gabungan PPBM, Dap, PKR dan Amanah tumbang,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Tambah Sharkar, ketika ini, tiada lagi kerajaan kerana Mahathir telah pun meletakkan jawatannya dan telah pun diterima oleh Yang diPertuan Agong, maka dengan status Mahathir yang bukan lagi Perdana Menteri yang sah, layakkah untuk Mahathir menentukan soal pembentukan kerajaan.
“Selepas peristiwa yang menyaksikan tumbangnya kerajaan PH, MN sepakat memberikan sokongan kepada Mahathir untuk menerajui negara jika kerajaan baru dibentuk tanpa Dap. Tetapi, selepas Ahli Parlimen BN dan PAS mengadap Yang di-Pertuan Agong, plotnya berbeza dan tidak seperti dirancang oleh Mahathir.
“Apa sebenarnya yang Mahathir inginkan? Adakah kerajaan perpaduan seperti yang dinginkan oleh Mahathir termasuk dengan adanya parti Dap akan dapat menyelesaikan masalah dan kemelut yang berlaku dalam negara ketika ini?
“Jika sebelum ini pun, dengan diwakili oleh empat parti politik (PPBM, Dap, PKR dan Amanah) Mahathir tidak dapat mengawal, bolehkah Mahathir mengawal kerajaan perpaduan yang diwakili oleh lebih daripada 10 parti politik? Jadi, adakah wajar cadangan penubuhan kerajaan perpaduan melibatkan semua parti politik seperti diinginkan oleh Mahathir?” soal beliau.
Ekoran itu jelas Sharkar, MN termasuk MCA dan MIC serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) sepakat menolak sebarang gabungan yang membabitkan dap.
“Dengan segala kerosakan yang dibuat oleh Dap, adakah wajar untuk kerajaan perpaduan diwujudkan dengan penglibatan Dap? Jadi, apakah langkah terbaik dalam menentukan kemelut pembentukan kerajaan ketika ini?
“Langkah terbaik adalah dengan memberi mandat kembali kepada rakyat untuk demokrasi Malaysia berfungsi dengan baik dan diterima oleh semua pihak. Kita tidak mahu negara ini menjadi kucar-kacir jika kerajaan baru yang ditubuhkan kelak mendapat tentangan daripada rakyat.
“Biarlah rakyat membuat keputusan mereka dan pembubaran Parlimen adalah langkah terbaik. Siapa yang menjadi pilihan rakyat, biarlah rakyat yang menentukannya, itu lebih baik bagi menyelesaikan kemelut negara ketika ini,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan