HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Februari 2020

PH calonkan Anwar sebagai PM lepas Dr M tak setuju pengerusikan mesyuarat

MALAYSIAKINI





Pakatan Harapan (PH) hari ini mengesahkan mencalonkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Menurut kenyataan hari ini, keputusan itu dicapai sebulat suara semalam selepas Dr Mahathir, yang kini merupakan perdana menteri sementara tidak bersetuju mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH yang juga diadakan semalam.

Kenyataan PH itu hadir kira-kira sejam selepas Dr Mahathir Mohamad mendedahkan punca beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

“Hari ini ahli-ahli parlimen PH daripada PKR, DAP dan Amanah telah mencalonkan Anwar sebagai calon perdana menteri bagi kerajaan PH," kata kenyataan itu.

Mengimbas semula cubaan penjajaran politik sehingga negara menyaksikan kerajaan yang dipimpin PH runtuh kurang dari dua tahun ditadbir, PH berkata mereka menolak sebarang usaha untuk menubuhkan kerajaan secara pintu belakang.

“Sejak cubaan untuk menumbangkan kerajaan PH hujung minggu lalu, kami terus berusaha untuk mempertahankan mandat rakyat Malaysia pada 9 Mei 2018.

“[...]Majlis Presiden Pakatan Harapan telah menjemput Tun Dr Mahathir untuk mempengerusikan mesyuarat itu PH) bagi memulihkan kerajaan Pakatan Harapan, namun Tun tidak bersetuju untuk hadir dalam mesyuarat tersebut pada hari petang Selasa, 25 Februari.

“Justeru itu, keputusan Majlis Presiden semalam telah menetapkan bahawa calon Perdana Menteri Pakatan Harapan ialah Anwar,” kata kenyataan itu.

Pada Isnin, kerajaan PH tumbang selepas Bersatu dan 11 ahli parlimen dari PKR yang diketuai Mohamed Azmin Ali meninggalkan gabungan itu dalam usaha mewujudkan gabungan baru bersama pembangkang.

Bagaimanapun, gerakan itu gagal selepas Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu.

Mahathir, yang dilantik sebagai perdana menteri sementara oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mendedahkan bahawa beliau meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju untuk bekerjasama dengan Umno.

PAS dan Umno yang sebelum ini menyatakan sokongan terhadap Mahathir sudah menarik semula sokongan mereka, semalam.

Mahathir hari ini juga berkata beliau akan berusaha untuk membentuk pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti.

“Saya berpendapat betul atau tidak, politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang.

"Jika dibenar saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti.

“Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan langsung di kaca TV.


Tiada ulasan: