HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Februari 2020

Mahathir, Muhyiddin kini 'berperang' dalam Bersatu

MALAYSIAKINI




Isu pelantikan perdana menteri baru menunjukkan putaran baru apabila calon yang dicadangkan Bersatu, Muhyiddin Yassin, menyanggah Dr Mahathir Mohamad.

Dalam kenyataan ringkas dikeluarkan selepas beliau dan rombongannya keluar dari Istana Negara sebentar tadi, Muhyddin berkata, Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi Bersatu pada 24 Feb lalu.

Justeru, kata bekas timbalan presiden Umno yang kemudian menubuhkan Bersatu itu, jawatan tersebut kini dipangku beliau.

"Menurut Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu, jika pengerusi berhenti atau diberhentikan, maka presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih pengerusi baru," katanya.

Kenyataan itu dilihat bercanggah dengan ketetapan dibuat Bersatu sebelum ini yang mengumumkan Mahathir bersetuju untuk dilantik semula sebagai pengerusi parti terbabit.

Ia dibuat beberapa jam selepas Mahathir mengumumkan beliau mendapat sokongan ahli parlimen mencukup untuk dicalonkan sebagai perdana menteri kepada Agong pagi tadi.

Bekas menteri dalam negeri dalam kerajaan PH itu menjelaskan Bersatu belum mengadakan pemilihan untuk menentukan siapa menduduki jawatan pengerusi.

"Justeru saya selaku presiden memangku jawatan pengerusi Bersatu sehingga pemilihan diadakan kelak," katanya. 

Bagaimanapun menyusul selepas kenyataan tersebut, Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya, mengesahkan bahawa Mahathir adalah pengerusi sebenar parti berkenaan.
Kata senator tersebut, menurut perlembagaan Bersatu, seorang pengerusi bertanggungjawab untuk menjadi pemimpin utama bagi menjamin kelancaran perjalanan keseluruhan pentadbiran serta dasar parti, selain memanggil dan mempengerusikan mesyuarat.

"Maka selari dengan prinsip rule of law dan perlembagaan parti, satu-satunya individu yang mempunyai kuasa mutlak memimpin parti ialah Pengerusi Bersatu, iaitu Dr Mahathir Mohamad.




"Oleh yang demikian segala tindak-tanduk dan arah parti adalah tertakluk kepada keputusan Tun (Mahathir) sebagai pengerusi Bersatu," katanya.

Sementara itu seorang sumber memberitahu, sebenarnya Mahathir memang masih berstatus pengerusi parti tersebut kerana peletakan jawatannya sebelum ini tidak diterima Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Terdahulu kemelut dalam kerajaan PH - yang bermula dengan tindakan Azmin Ali dan 10 ahli parlimen yang menyokongnya meninggalkan PKR - menyaksikan Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Sejurus selepas Azmin mengambil langkah tersebut, Muhyiddin pula mengumumkan Bersatu meninggalkan PH, menjadikan gabungan tersebut kini hanya dianggotai PKR, Amanah dan DAP.

Mahathir sekali lagi membuat kejutan tidak lama selepas itu apabila mengumumkan meletak jawatan sebagai pengerusi Bersatu.

Bagaimanapun MPT Bersatu yang bermesyuarat kemudian menolak peletakan jawatan tersebut.

Semalam ahli parlimen Bersatu dan Azmin serta penyokongnya dilaporkan bertemu Mahathir di Yayasan Al Bukhary sebelum membuat kenyataan mereka menyokong Muhyiddin sebagai calon perdana menteri untuk dipersembahkan kepada Agong.

PAS yang sebelum ini bercadang mahu mengemukakan usul percaya kepada Mahathir menyatakan sokongan mereka kepada cadangan berkenaan.


Tiada ulasan: