HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Februari 2020

Tiada had masa untuk Dr Mahathir jadi PM - Mahfuz

Irwan Muhammad Zain, Astro Awani
Tiada had masa untuk Dr Mahathir jadi PM - Mahfuz
MAHFUZ: Ahli-ahli Parlimen Amanah juga sedia memberi tanda tangan, tanda sokongan kami kepada Dr Mahathir, jika itu yang diminta Agong. - Gambar fail
 

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi perdana menteri tanpa mengehadkan sebarang tempoh masa.

Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar berkata, keputusan tersebut dicapai dalam satu mesyuarat pimpinan Amanah yang diadakan di Wisma Amanah malam tadi.

“Kami sebulat suara memberi sokongan untuk Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri tanpa had masa.

“Ahli-ahli Parlimen Amanah juga bersedia untuk memberi tanda tangan, tanda sokongan kami kepada Dr Mahathir, jika itu yang diminta oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada Astro AWANI.

BACA: Amanah akan terus sokong kepimpinan Tun Mahathir - Mohamad Sabu

Pada Isnin, Dr Mahathir menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai perdana menteri kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Yang di Pertuan Agong menerima peletakan jawatan itu tetapi telah berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim sementara menunggu pelantikan perdana menteri yang baharu.

BACA: Tun Mahathir letak jawatan Perdana Menteri, Pengerusi Bersatu

Menurut Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, keputusan itu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Dr Mahathir juga melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Bersatu keluar dari Pakatan Harapan.

BACA: Tun M ulangi janji letak jawatan lepas APEC

BACA: Tun M tidak terlibat dalam akuan berkanun, janji serah jawatan - Anwar Ibrahim

Tiada ulasan: