Anggota Majlis Tertinggi Umno hari ini diberi penjelasan oleh Presiden parti itu Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung situasi politik semasa negara.
Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata, Zahid memberikan pelbagai senario yang berkemungkinan berlaku untuk dinilai secara bersama dengan PAS.
Bagaimanapun, kenyataan itu
tidak menyebut sebarang isu mengenai kerajaan perpaduan ataupun
kerjasama antara Umno dan Bersatu seperti yang hangat diperkatakan
kebelakangan ini.
"MT Umno berpuas hati dengan penjelasan tersebut dan MT beri pandangan secara terbuka untuk perhatian dan tindakan Presiden Umno," katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat MT, petang tadi.
Khabar angin mengenai kerjasama Umno dan Bersatu timbul awal minggu ini apabila Anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam mendedahkan rakaman audio yang didakwa dirakam semasa mesyuarat Muafakat Nasional dan mengandungi ucapan Zahid.
Dalam rakaman itu, Zahid dikatakan cuba meyakinkan pemimpin parti untuk bekerjasama dengan Mahathir.
Spekulasi timbul bahawa Umno dan PAS mungkin membentuk gabungan yang lebih besar dengan Bersatu yang dipengerusikan Mahathir, bagi membentuk kerajaan baru melalui sebuah gabungan yang dikenali sebagai Pakatan Nasional.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menguatkan lagi spekulasi itu apabila memberitahu pemberita bahawa parti itu terbuka untuk membentuk kerajaan perpaduan.
Ketika dihubungi Malaysiakini selepas mesyuarat MT Umno hari ini, Zahid menolak tanggapan bahawa parti itu mungkin bekerjasama dengan Mahathir.
“MT merasa amat bimbang dengan kedudukan orang Melayu, umat Islam dan rakyat keseluruhan yang semakin terhimpit berpunca dari kegagalan Pakatan Harapan (PH).
“MT juga bersetuju untuk terus memperkasakan Muafakat Nasional dengan mempertingkatkan gerak kerja terutama memoertingkatkan gerak kerja bersama PAS terutama dalam berdepan sebarang kemungkinan,” katanya.
Sementara itu MT Umno turut melantik Zulhasnan Rafique sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin Umno.
Beliau menggantikan Mohd Apandi Ali yang meletakkan jawatan secara rasmi 7 Jan lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan