Datuk Dr Ir Ts Badhrulhisham Abd Aziz
Orang Jepun masih kuasai Sains, teknologi, bangga bahasa ibunda
KEBELAKANGAN ini isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam
Bahasa Inggeris (PPSMI) hangat diperbahaskan, bila Tun Dr Mahathir Mohamad
menyatakan hasrat beliau untuk mengembalikannya semula dalam silibus
persekolahan.
PPSMI
telah digantikan dengan program dwibahasa (DLP) pada tahun 2012 yang memberi
pilihan kepada pihak sekolah untuk melaksanakan pembelajaran Sains dan
Matematik dalam bahasa Inggeris dengan meletakkan syarat-syarat tertentu.
Pada
pandangan saya, kita sepatutnya tidak perlu kembali kepada PPSMI yang terbukti
telah menemui kegagalan, disebabkan banyak faktor antaranya faktor
perlaksanaan, persediaan dan sebagainya.
Saya
adalah kumpulan pertama pelajar darjah 1 sekolah kerajaan, yang memulakan
sistem pembelajaran dan pengajaran dalam bahasa Melayu sepenuhnya.
Belajar
Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu sehingga ke Tingkatan 6 tidak langsung
menjejaskan pemahaman dan pengetahuan saya dalam bidang ini.
Kemudian
saya melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dan Unite Kingdom (UK) dalam
bidang Kejuruteraan Kimia dan berjaya mengharunginya tanpa masalah.
Ramai
dari kawan-kawan saya dari berbilang-bangsa yang sama-sama dengan saya dalam
sistem pembelajaran dan pengajaran dalam bahasa Melayu sepenuhnya, berjaya
dalam pelajaran tinggi mereka.
Setelah
saya melanjutkan pelajaran peringkat PhD ke Kyoto University, Jepun, saya dapat
memahami dengan lebih dekat lagi mengapa tanpa belajar Sains dan Matematik
dalam bahasa Inggeris, orang Jepun masih boleh menguasai Sains dan Teknologi.
Mereka
amat bangga dengan bahasa mereka dan berjaya mengekalkan ilmu pengetahuan dalam
bahasa Jepun dan menjadikan pesaing mereka sukar untuk bersaing disebabkan
semuanya dalam bahasa Jepun.
Tetapi,
mereka belajar bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain untuk memastikan mereka
boleh membaca dan memahami bahasa-bahasa itu untuk tujuan ilmu.
Bukan
itu sahaja, mereka menterjemahkan hasil-hasil karya bahasa lain ke bahasa Jepun
dengan begitu pantas dan intensif agar rakyat mereka tidak ketinggalan dalam
ilmu pengetahuan.
Saya
mencadangkan kita mengekalkan pembelajaran dan pengajaran dalam bahasa Melayu
hingga ke peringkat menengah.
Dalam
masa yang sama, kita perlu perkenalkan satu program intensif untuk
memperkukuhkan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah agar penguasaan bahasa
Inggeris terutama sekali dalam pembacaan dan penulisan dapat dicapai dengan
baik.
Bahasa
jiwa bangsa adalah satu ungkapan yang amat tepat. Identiti bangsa dan negara
mesti dikekal dan dipertahankan. Malaysia mampu menjadi negara maju tanpa
mengorbankan identiti kita dan tanpa mengagung-agungkan budaya orang lain.
*Datuk Dr Ir Ts Badhrulhisham Abd Aziz- Presiden BERJASA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan