HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Oktober 2020

Ketepi sifat kepartisan ketika ambang krisis Covid-19

Adun Usukan Salleh Said Keruak menyeru ahli politik dan parti bekerja sebagai 1 
pasukan tanpa mengira aspek partisan.

PETALING JAYA: Langkah gencatan politik diumumkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mencerminkan parti itu sentiasa meletakkan kepentingan diri di belakang kepentingan rakyat dan negara, kata ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Usukan Salleh Said Keruak.

“Tidak perlu untuk politikkan setiap isu yang timbul. Tidak perlu lagi menuding jari mencari salah siapa. Tidak perlu lagi berebut kuasa.

“Isu penting seperti kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan rakyat perlu diletakkan di atas sekali. Gencatan ini bukanlah bermaksud mengalah atau kalah, tetapi meletakkan kepentingan diri di belakang kepentingan rakyat dan negara,” katanya menerusi catatan di blognya hari ini.

Justeru, pemimpin Umno Sabah itu menyeru ahli politik dan parti bekerja sebagai 1 pasukan tanpa mengira aspek partisan.

“Ketepikan prejudis. Masing-masing ada pendapat, ada kepakaran. Bentuklah 1 pasukan yang dapat berkhidmat untuk rakyat. Ini juga dikira sebagai ‘normal baharu’.”

Bekas menteri komunikasi dan multimedia itu berkata, betapa ahli politik ketika ini tidak digemari oleh rakyat dan parti politik itu sendiri dipersalahkan kerana mencetuskan penularan gelombang ke-3 Covid-19.

“Tindakan ahli politik yang bermain politik 24 jam ketika kita dalam krisis yang besar ini sangat dikesali. Pemimpin negara kini menghadapi 1 ujian yang besar dan rakyat sedang berhadapan dengan masa depan yang kian pudar.

“Kita sering laungkan betapa perjuangan kita adalah demi negara dan rakyat, namun apabila kepentingan negara dan rakyat patut diambil kira, kita berbalah dan saling tuduh menuduh,” katanya.

Umno hari ini mengumumkan “gencatan politik” bagi memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang susah akibat hambatan ekonomi dapat diutamakan.

Zahid juga mengumumkan Umno mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN), dan mengarahkan semua kepimpinan parti dalam Kabinet memberikan sepenuh penumpuan kepada usaha membantu rakyat.

Tiada ulasan: