HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Oktober 2020

KKM mesti beritahu kenapa Khairuddin tak kena perintah kuarantin, kata Teresa

Teresa Kok berkata keputusan tidak mengeluarkan arahan kepada Khairuddin Aman 
Razali untuk menjalani kuarantin adalah “double standard”.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok meminta Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan mengapa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali tidak dikeluarkan borang untuk menjalani kuarantin selepas pulang dari Turki pada Julai.

Bekas menteri itu berkata, seseorang mesti bertanggungjawab terhadap perkara berkenaan selepas polis memaklumkan mereka diarah Jabatan Peguam Negara mengklasifikasikan kes Khairuddin sebagai “tiada tindakan lagi” (NFA).

“Keputusan ini jelas menunjukkan ‘double standard’. Apabila pulang dari Sabah, kita perlu melalui banyak proses, meluangkan beberapa jam di lapangan terbang dan perlu menjalani proses kuarantin. Semua yang kembali dari luar negara juga perlu menjalani ujian saringan Covid-19.

“Adakah ini salah KKM? Ia perkara yang sangat mudah. Terpulang kepada KKM,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen DAP itu berkata, keputusan berkenaan akan menimbulkan kemarahan, berikutan beberapa kes rakyat biasa dikenakan denda yang tinggi malah dipenjara bagi kesalahan sama.

“Sekarang kita diberitahu KKM tidak mengeluarkan borang kuarantin kepada (Khairuddin). Mengapa ia tidak diberitahu kepada kita apabila isu ini kali pertama dibangkitkan?” katanya.

Terdahulu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai NFA kerana menteri terbabit tidak dikeluarkan Borang 14b untuk menjalani kuarantin selepas pulang dari luar negara.

Borang itu berkait Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Huzir berkata, tiada bukti jelas yang memberikan asas untuk kes itu didakwa mengikut Akta 342.

Dari 10 Jun hingga 23 Julai, individu yang pulang dari luar negara perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 14 hari atas perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO). Ia kemudian dipinda dan golongan terbabit perlu menjalani kuarantin kendiri di hotel atau pusat kuarantin disediakan.

Khairuddin berdepan kritikan pelbagai pihak pada Ogos kerana melanggar perintah itu dengan menghadiri persidangan Dewan Rakyat selepas pulang dari Turki pada 7 Julai.

Beliau kemudian dikenakan denda RM1,000 oleh KKM dan disiasat polis.

Tiada ulasan: