HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Mac 2021

Bersatu ingin bertanding UMNO, Pemuda akan pertahankan – Asyraf

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
ASYRAF Wajdi Dusuki berucap pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2020 di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini. - IHSAN UMNO

KUALA LUMPUR : Parti Pribumi Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikatakan ingin bertanding di kerusi yang dimiliki UMNO dalam pilihan raya umum akan datang

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bagaimanapun kepemimpinan UMNO digesa mempertahan kedudukan kerusinya termasuk tidak membenarkan parti lain merampas hak parti sewenang-wenangnya.

“Seperti disebutkan oleh beberapa perwakilan negeri tadi, kepemimpinan UMNO harus tegas dalam soal ini dengan tidak mudah mengalah dengan permainan Bersatu.

“Oleh itu kita wajib pertahankan maruah parti dengan tidak membuka ruang sesekali kepada Bersatu bertanding di kerusi kita,” katanya ketika menggulung ucapan dasar Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.

Beliau sekali lagi menegaskan, Muafakat Nasional (MN) perlu dipertahankan agar ia terus kukuh dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menggesa kepimpinan UMNO untuk menghentikan ‘tembak-menembak’ atau menuding jari sesama sendiri berhubung kerjasama dengan Bersatu.

Katanya, mereka wajar mencontohi Pemuda UMNO yang tidak bertelagah sesama sendiri walaupun berbeza pandangan.

“Kita ingin berperang dalam pilihan raya, seharusnya perpaduan parti diperkukuhkan bukannya tuding menunding sama sendiri.

“Jadi kepada ayahanda pemimpin UMNO, sila hentikan perbalahan, marilah bersama perkukuhkan parti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: