HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Mac 2021

Jangan cakap soal kerusi jika Bersatu tak ikhlas – Imran

MGF_27032021_PERHIMPUNAN-AGUNG-UMNO_67
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Mohd Imran Tamrin bercakap selepas pada Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Sungai Besar mempersoalkan hasrat  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mempertahankan semua kerusi yang pernah ditandingi parti itu sekiranya UMNO tidak melepaskannya pada pada PRU-15.

Ketuanya, Datuk Mohd Imran Tamrin menegaskan, bagaimana UMNO mahu berbincang soal kerusi sedangkan parti itu tidak ikhlas dalam pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

“Kenapa baru hari ini PN dan Bersatu nak bertanding semua kerusi sedangkan sebelum ini tiada langsung perbincangan mengenainya.

“Bersatu ingin mempertahankan kerusi-kerusi termasuk kerusi lompat daripada bekas-bekas pemimpin UMNO yang masuk Bersatu.

“Bagaimana kita nak berbincang kerusi sedangkan mereka tidak mempunyai keikhlasan dalam kerjasama pembentukan kerajaan PN,” katanya kepada MalaysiaGazette di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi bayangan PPBM akan bertanding di semua kerusi yang ditandingi UMNO pada PRU-15 akan datang.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh juga tiada halangan sekiranya UMNO tidak mahu bekerjasama dengan partinya pada pilihan raya nanti.

Sementara itu, sebelum menghadapi PRU-15, Mohd Imran  menggesa Lembaga Disiplin UMNO menguruskan mana-mana ahli parti itu yang menjadi musuh dalam selimut.

“Kita menghadapi dinamik politik yang tidak disangka, ada pimpinan mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu yang melanggar peraturan dan ketetapan parti.

“Ini sudah pasti tidak selari dengan perlembagaan parti dan mereka ini harus diambil tindakan segera,” ujarnya.

Katanya sekiranya UMNO enggan berbuat demikian, parti itu akan menghadapi pilihan raya dalam keadaan yang tidak kukuh bagi berdepan dengan Bersatu.

“Kita khuatir kalau menghadapi pilihan raya dalam keadaan sebegitu, sekali lagi kita akan kecundang dalam PRU-15,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: