PUTRAJAYA: Ahli UMNO perlu sentiasa mendekati rakyat dan membawa wadah perjuangan parti yang inklusif dan sudah bersedia menjadi kerajaan baharu untuk memimpin negara ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi parti, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, nasihat itu juga antara inti ucapan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang wajar dihayati ahli.
“Dekati rakyat, jiran tetangga, rakan sekerja, agamawan, anak muda, kumpulan peniaga dan semua pihak yang ada di sekeliling kita dengan bawalah sama wadah perjuangan parti kita ini.
“Sebutlah bahawa UMNO akan terus perjuangkan nasib rakyat serta akan menjadi kerajaan yang baharu lebih stabil, kuat dan cemerlang,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Beliau merujuk ucapan Mohamad ketika perasmian serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di ibu negara pagi tadi.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis itu berkata, semua ahli harus menjadi ejen perjuangan parti dan memasang matlamat menang Pilihan Raya Umum kelak.
“Ayuh kita kembali ke kawasan masing-masing dan bertindak sebagai ejen parti keramat ini dengan konsisten dalam menyerang musuh dan pertahankan perjuangan UMNO,” katanya.
Justeru, Ketua UMNO Bahagian Lipis itu menambah, bagi mencapai misi tersebut, UMNO wajib menang untuk teruskan perjuangan agenda membela nasib rakyat, terutama Melayu.
Ini sejajar usianya bakal 75 tahun pada 11 Mei depan dan UMNO ujarnya perlu terus memacu gelombang rakyat dengan memahami serta mendekati selain bergerak aktif secara dinamik.
Pada masa sama katanya, ahli kena bijak merentas politik kepartian kerana ada jutaan orang Melayu tidak menjadi anggota atau aktif dalam mana-mana organisasi siasah tempatan.
“Kita kena undang dan raikan mereka. Jadi elak pergeseran, perpecahan, berpuak dan sebagainya tetapi fokus lebih utama kepada agenda penyatuan ummah,” kata Abdul Rahman. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan