HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Mac 2021

Umno sedia dengar ‘formula’ PAS untuk berdamai dengan Bersatu

Fazreen Kamal 

Umno hormati kesediaan PAS menjadi 'orang tengah' di antara kedua-dua parti.

Umno menghormati kesediaan pemimpin PAS dalam usaha mereka untuk menjadi orang tengah memulihkan hubungan antara parti Melayu itu dengan Bersatu, kata Mohamad Hasan.

Bagaimanapun timbalan presiden Umno itu berkata, mereka akan mendengar “formula” PAS terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Cubalah damaikan kita akan tengok macam mana, kita nak dengar formula dia. Itu sahaja kita punya pendirian, Umno sedia untuk mendengar,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur hari Ini.

Sebelum ini, beberapa pemimpin PAS menyuarakan kebimbangan berhubung hubungan antara Umno dan Bersatu yang dilihat akan berakhir pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah mereka turut merayu agar Umno bersikap lebih rasional sebelum membuat sebarang keputusan mengenai kerjasama dengan parti Bersatu pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, beberapa pemimpin PAS menyatakan akan berusaha untuk memastikan kedua-dua parti Melayu yang bertelagah itu memperbaiki hubungan sebelum PRU15.

PAS dan Bersatu adalah antara parti komponen Perikatan Nasional (PN), gabungan yang dibentuk selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tahun lalu.

Umno bagaimanapun mengambil keputusan untuk tidak berada dalam PN walaupun menyokong pembentukan kerajaan tahun lalu.

Walaupun memberi sokongan dalam pembentukan kerajaan PN, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak dilihat mengepalai siri serangan terhadap kerajaan PN.

Tiada ulasan: