HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Mac 2021

UMNO tak dominan, perlu ‘kawan’ untuk kembali jadi kerajaan

Siti Fatimah

Gesaan tamatkan hubungan dengan Bersatu bukan suara keseluruhan akar umbi

KUALA LUMPUR – Isu kerjasama politik dan kebangkitan semula UMNO menjadi topik utama ketiga-tiga sayap UMNO yang bersidang sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 semalam.

Ketua Wanita, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Puteri Datuk Zahida Zarik Khan jelas mahu parti itu menarik sokongan terhadap Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) manakala Ketua Pemudanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengharapkan PAS memegang erat ikatan Muafakat Nasional (MN).

Ini dizahirkan dalam ucapan dasar masing-masing selepas persidangan serentak dirasmikan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang berlangsung secara hibrid.

Namun di sebalik keyakinan untuk kembali menguasai Putrajaya, pemerhati politik melihat Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO bersama rakan komponen iaitu MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), memerlukan ‘kawan’ untuk kembali menjadi kerajaan serta mentadbir negara.

Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, UMNO dan BN kini bukan lagi sebuah parti dominan serta memerlukan kerjasama politik yang menguntungkan mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata, UMNO amat mengharapkan PAS kekal dengan pendiriannya untuk bersama MN dalam menghadapi PRU15 akan datang.

Jelasnya, hubungan UMNO-PAS yang terjalin ketika ini telah memberikan impak positif seperti diterjemahkan dalam beberapa siri pilihan raya kecil selepas PRU14 pada 2018.

“Namun PAS dilihat turut mahukan Bersatu terlibat dalam kerjasama politik bagi kepentingan ummah,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Marthada juga berpendapat, gesaan kepimpinan UMNO untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu tidak mencerminkan suara keseluruhan akar umbi parti yang menginjak usia 75 tahun itu.

Menurutnya, ketika ini terdapat beberapa bahagian yang tidak menjelaskan pendirian mereka terhadap keputusan itu.

Sebelum ini, dilaporkan sebanyak 124 daripada 190 Bahagian UMNO telah mengemukakan usul untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan ia dijangka dimuktamadkan pada perhimpunan hari ini.

“Jika Perhimpunan Agung UMNO meluluskan untuk memutuskan kerjasama itu, UMNO perlu bersedia dengan sebarang implikasi dari pelbagai aspek khususnya sokongan rakyat dan ahli parti yang mahukan keputusan sebaliknya,” katanya.

Penganalisis politik dari universiti sama, Mohd Shukri Shuib berkata, BN perlu diperkukuh terutama dalam aspek kepimpinan sekiranya tidak mahu mengharapkan bantuan parti politik lain untuk mengemudi negara.

“Jika BN kukuh dan ada tokoh yang boleh diterima rakyat, maka institusi BN akan kembali mendapat sokongan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Datuk Zahidi Zainul Abidin menyatakan UMNO perlu memikirkan soal kerjasama dengan parti lain dan akan berada dalam blok pembangkang sekiranya kerusi dimenangi tidak cukup untuk membentuk kerajaan.

“Kalau boleh dapat 120 atau 112 kerusi, okey, tak payah setuju dengan siapa kerana kita boleh bentuk kerajaan,” katanya. – Bernama

Tiada ulasan: