HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Jun 2021

Nazri: Zahid minta bantuan Shahidan dapatkan kembali peruntukan RM3.8 juta

Malaysiakini

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi meminta bantuan Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim untuk mendapatkan kembali peruntukan bagi kawasannya sebanyak RM3.7 juta yang telah dipotong awal tahun ini, kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz,

Nazri berkata, peruntukan yang sepatut diterima dia dan Zahid telah dikurangkan selepas berlaku rancangan untuk menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Nazri menarik sokongan daripada PN pada Januari, namun Zahid tidak berbuat demikian.

"Yang mengecewakan saya Zahid suruh Shahidan minta RM3.8 juta tu untuk kawasan dia.

"Dia (Zahid) yang rancang untuk kita tarik sokongan, lepas tu dia tak tarik sokongan dan minta peruntukan," kata ahli parlimen Umno itu kepada Malaysiakini malam tadi.

Zahid pada awal Februari mendedahkan bahawa peruntukan untuk kawasannya telah dikurangkan kepada RM100,000.

Turut mengalami nasib yang sama ialah Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak, Ahmad Maslan (Pontian), Ahmad Jazlan Yaakub (Machang), selain Nazri sendiri.

Hanya Nazri dan Ahmad Jazlan secara rasmi menarik sokongan daripada kerajaan PN.

Ini menyebabkan kerajaan hilang majoriti - insiden yang diyakini oleh banyak pihak menyebabkan darurat diisytiharkan pada Januari.

Ketika dihubungi, Shahidan memberitahu Malaysiakini bahawa Zahid, Najib dan Ahmad Maslan telah mendapatkan semula peruntukan mereka.

"Mereka menerima peruntukan itu, tapi mereka menerimanya lewat.

"Tetapi usaha siapa itu (untuk mendapatkan semula peruntukan mereka), saya tak nak sebut. Tidak adil untuk saya katakan," katanya sambil menambah ia adalah "kisah lama".

Malaysiakini telah menghubungi Zahid untuk mendapatkan komen.

Shahidan, yang merupakan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) berkata, hanya Ahmad Jazlan dan Nazri belum mendapatkan semula peruntukan mereka.

Ahli Parlimen Arau itu merupakan penyokong kerjasama Umno dan Bersatu dan dipecat sebagai pengerusi Umno Perlis oleh Zahid pada April lalu.

Sementara itu, Nazri berkata dia menarik sokongan daripada PN kerana Zahid memintanya berbuat demikian.

Nazri berkata dia juga mempertahankan keputusan perhimpunan agung Umno pada bulan Mac untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu menjelang pilihan raya umum ke-15.

Nazri berkata demikian ketika apabila apakah dia kini menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin - setelah kini menentang Zahid.

"Kalau nak cakap saya sokong Muhyiddin, saya adalah orang yang menarik sokongan, bukan Zahid.

"Dia rancang tapi dia sendiri tak lompat," katanya.

Tiada ulasan: