Astro Awani
Jelas Peguam Negara, tarikh-tarikh mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga ditentukan oleh jemaah menteri. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR:
Penjalanan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen
bersidang hendaklah dijalankan mengikut nasihat jemaah menteri atau
nasihat seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am jemaah menteri.
Peguam
Negara Tan Sri Idrus Harun menjelaskan, Baginda hendaklah menerima dan
bertindak mengikut nasihat itu, menurut Perkara 40(1) dan (1A)
Perlembagaan Persekutuan.
"Subseksyen
14(1) Ordinan Darurat tersebut perlu dibaca bersama-sama dengan
peruntukan-peruntukan lain dalam Ordinan Darurat tersebut seperti
seksyen 17 dan 18.
"Seksyen
17 memperuntukkan bahawa bagi tempoh darurat berkuat kuasa, kuasa yang
diberikan di bawah Ordinan Darurat tersebut adalah tambahan kepada, dan
bukanlah sebagai menggantikan, kuasa yang diberikan oleh atau di bawah
mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa.
"Seksyen
18 pula memperuntukkan sekiranya terdapat apa-apa percanggahan atau
ketidakselarasan antara peruntukan Ordinan Darurat tersebut dengan
mana-mana undang-undang bertulis yang lain, peruntukan Ordinan Darurat
tersebut hendaklah mengatasi dan peruntukan undang-undang bertulis lain
yang bercanggah atau tidak selaras itu hendaklah disifatkan digantikan
setakat percanggahan atau ketidakselarasan itu," jelas Idris dalam satu
kenyataan pada Jumaat.
Berdasarkan
Perkara 55(1)Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk memanggil Parlimen
bersidang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun
peruntukan untuk memanggil Parlimen bersidang tidak mempunyai kesan di
bawah perenggan 14(1)(a) Ordinan Darurat selama tempoh darurat berkuat
kuasa.
Perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat
pula memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil
Parlimen pada tarikh “sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang
di-Pertuan Agong”.
Dalam pada itu kata
Idris, berdasarkan seksyen 17 dan 18 tersebut, perenggan 14(1)(b)
ataupun mana-mana peruntukan dalam Ordinan Darurat tersebut tidak
mengecualikan peruntukan prinsip Raja Berperlembagaan yang termaktub
dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 40(1) dan (1A)
Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya,
berkait dengan kuasa jemaah menteri dalam menasihati Yang di-Pertuan
Agong untuk memanggil Parlimen bersidang, Peraturan Mesyuarat 11(2)
Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Peraturan
Mesyuarat 10(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara
memperuntukkan bahawa Ketua atau Timbalan Ketua Majlis iaitu (Perdana
Menteri atau Timbalan Perdana Menteri) hendaklah menetapkan,
sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal,
tarikh-tarikh Majlis akan bermesyuarat dalam sesuatu penggal dan Ketua
atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh yang ditetapkan.
Oleh
itu jelasnya, perkara itu selaras dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong
untuk memanggil Parlimen bersidang yang dijalankan mengikut nasihat
jemaah menteri, tarikh-tarikh mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara
juga ditentukan oleh jemaah menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan