Astro Awani
Jamaie
berkata, UMNO perlu mempunyai barisan kepimpinan tidak terpalit isu
rasuah yang boleh menjejaskan imej parti di mata rakyat. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini dilihat sebagai beban kepada UMNO
dan tidak lagi relevan untuk parti Melayu terbesar negara itu.
Pensyarah
Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
Jamaie Hamil berkata, UMNO perlu mempunyai barisan kepimpinan tidak
terpalit isu rasuah yang boleh menjejaskan imej parti di mata rakyat.
"UMNO
sepatutnya perlu mempunyai hala tuju yang jelas menjelang Pilihan Raya
Umum Ke-15 (PRU15) sama ada mahu memperbaiki semula keyakinan rakyat
untuk memilih mereka atau terus mempertahankan pemimpin tertentu.
"Apabila
sudah ada pemimpin sedemikian, secara tidak langsung rakyat melihat
parti itu sendiri sebenarnya banyak masalah berdasarkan ketidaksediaan
pemimpin lain untuk menukar ketuanya.
"Perkara
itu penting, kalau ketuanya ada masalah, maka rakyat meletakkan satu
ketidakyakinan kepada parti itu, jadi sebelum PRU akan datang, UMNO
perlu membuat sesuatu supaya sokongan rakyat kembali," katanya dalam
kenyataan pada Jumaat.
Sebelum
ini, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
mencabar Presiden UMNO untuk membuktikan beliau masih mempunyai sokongan
25 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
Nazri
mendakwa, Zahid tidak mempunyai bukti untuk menafikan semua 25 Ahli
Parlimen BN terbabit hilang keyakinan terhadap kepimpinan beliau.
Dalam pada itu, Jamaie berkata, adalah suatu yang tidak tidak masuk akal jika UMNO mempertahankan pemimpin seperti Ahmad Zahid.
"Saya
tidak kata Ahmad Zahid tidak ada karisma tetapi disebabkan
masalah-masalah seperti itu, UMNO perlu cari satu penyelesaian cepat
supaya ada keyakinan rakyat untuk mengundi kepada BN semula.
"Ahli-ahli
akar umbi dilihat mahu menggantikan kepimpinan sedia ada dan Ahmad
Zahid dipercayai tidak lagi akan kekal memegang jawatan itu nanti.
"UMNO
perlu berbuat sesuatu dengan cepat supaya keyakinan rakyat untuk
mengundi balik UMNO atau gabungan bersama UMNO sama ada Muafakat
Nasional (MN) atau BN dalam PRU15 akan jadi kenyataan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan