MALAYSIAKINI
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mempersoalkan kenyataan Peguam Negara Idrus Harun bahawa kabinet, dan bukannya Yang di-Pertuan Agong, yang berkuasa memutuskan bila sidang Parlimen patut kembali diadakan.
Lim berkata, kenyataan itu tidak konsisten dengan tindakan Idrus yang tidak berkata apa-apa ketika Agong menolak cadangan Kabinet agar darurat diisytiharkan, pada Oktober tahun lalu.
"Kenyataan umum Idrus sekarang secara jelas membayangkan Yang di-Pertuan Agong telah terkhilaf apabila menolak permohonan Kabinet untuk darurat pertama, tetapi tidak ada kenyataan umum daripadanya.
"Apa sebabnya Idrus sekarang secara tiba-tiba berani bersuara terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja?" soalnya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Idrus antara lain berkata penghakiman mahkamah berkenaan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan sebelum ini menggariskan penjalanan kuasa Agong untuk memanggil Parlimen bersidang hendaklah dijalankan mengikut nasihat jemaah menteri.
Walaupun Agong dan Majlis Raja-raja Melayu sebelum ini memutuskan Parlimen perlu bersidang secepat mungkin, kerajaan memutuskan ia hanya boleh dilaksanakan paling cepat September ini.
Lim berkata Idrus jelas memihak kepada eksekutif dengan mengabaikan titah tersebut.
"Idrus tidak perlu berpura-pura bahawa dia menegakkan undang-undang ketika dia bersedia untuk mendedahkan kepada umum nasihatnya kepada Agong sebagai pegawai undang-undang utama kerajaan.
"Langkah yang belum pernah terjadi sebelum ini sangat tidak wajar dan tidak bertanggungjawab," katanya lagi.
Lim berkata, Idrus telah menunjukkan "wajah sebenar" sebagai "peguam negara bersifat politik, yang bersedia melakukan arahan Perdana Menteri untuk memenuhi kepentingan politik".
Katanya lagi, keputusan yang perlu dilakukan sekarang adalah dengan kerajaan mematuhi titah tersebut dan segera mengadakan sidang Parlimen.
"Tindakan politik melulu seperti itu boleh mencetuskan krisis Perlembagaan yang tidak dapat ditanggung oleh Malaysia kini ketika menghadapi pelbagai krisis.
"Perikatan Nasional sebaliknya perlu mematuhi Agong, Majlis Raja-Raja dan rakyat yang menuntut agar Parlimen bersidang secepat mungkin dan darurat tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan