KUALA LUMPUR – Suka atau tidak, anak muda digalakkan supaya melibatkan diri dalam politik bagi mengelak bangsa Melayu terkebelakang dalam pelbagai sudut termasuk ekonomi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof berkata, antara kelemahan orang Melayu ialah mengambil mudah hal politik sehingga ekonomi negara dipegang bangsa lain.
“Orang Melayu hari ini hanya ada kekuatan politik sahaja. Kekuatan ini yang kita ada untuk terus membantu bangsa kita yang miskin, B40 dan sebagainya.
“Itu sahaja yang kita ada. Ekonomi kita tinggal ke belakang. Jadi, perlunya kita mempunyai kesedaran kepada semua anak muda bahawa suka tak suka kita kena melibatkan diri dalam politik,
“Sebab itu, saya selalu tekan dan galakkan kepada anak muda kita, terutama pelajar, terlibatlah dalam politik. Berapa ramai di kalangan kita sedar perlunya kita mendaftar sebagai pengundi?” soalnya.
Beliau membangkitkan saranan itu dalam Sesi Dialog Pelajar-Pelajar Cemerlang SPM 2020 tajaan Yayasan Peneraju yang diadakan secara maya, hari ini.
Turut bersama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), Mohd Muzzammil Ismail.
Menurut Mohd Redzuan yang lebih mesra dengan panggilan Pak Wan di kalangan pelajar dalam sesi dialog itu, tujuannya menggalakkan anak muda terlibat dalam politik adalah untuk mencari wakil pemimpin yang boleh membimbing mereka.
Katanya, untuk memilih wakil itu, mereka terlebih dahulu perlu mendaftar sebagai pengundi.
“Kalau kita lihat hari ini, yang berlumba-lumba untuk mendaftar mengundi adalah bangsa lain. Bangsa kita duduk sempoi sahaja, mengharapkan keprihatinan daripada prihatin.
“Tetapi adakah harapan itu akan kekal selama-lamanya tanpa ada sokongan daripada kita untuk bersama-sama memaju dan membangunkan negara ini?” soalnya lagi.
Beliau berkata, penting untuk anak muda Melayu mendaftar apabila umur sudah mencapai 18 tahun.
Katanya, pendaftaran automatik itu bukan bermakna boleh terus mengundi malah mereka perlu mendaftar sebagai pengundi di mana-mana Pejabat Pos atau pejabat cawangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ini semua, ujar beliau, demi untuk melestarikan politik tanah air, di samping dengan sokongan mereka akan melancarkan lagi proses menambahbaikan dasar untuk dilaksanakan oleh pemimpin secara berintegriti.
“Di situlah kita boleh bina kekuatan dan mencorakkan masa depan dari sudut membangunkan bangsa kita. Tetapi, kalau itu tak ada, kalau kita buat sambil lewa, kita akan terus menjadi masyarakat yang meminta-minta.
“Satu hari anak muda kena ada kesedaran bahawa mereka perlu bersama dalam menguatkan politik. Bukan kita nak berpolitik, tetapi kita nak memahami politik.
“Bagaimanapun, saya rasa kalau kita buat kerja yang betul, politik itu adalah contoh kepada kepimpinan kita untuk rakyat menyokong kita menjadi pemimpin,” kata beliau. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan