PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin akur dengan keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berhubung rayuan Parti Pejuang Negara (Pejuang).
Beliau berkata dirinya selaku menteri yang menjaga Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) akan membuat keputusan itu dalam masa 14 hari.
“Dia (Mahkamah Tinggi) suruh buat keputusan, saya akan buat keputusan. Saya akan buat keputusan terhadap rayuan Pejuang tersebut,” katanya dalam sidang media hari ini.
Terdahulu Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Ahmad Kamal Md Shahid memerintahkan Hamzah untuk membuat keputusan berhubung permohonan Pejuang untuk didaftarkan sebagai parti politik.
Hakim Ahmad Kamal Md Shahid dalam penghakimannya berkata, keputusan itu perlu dibuat dalam tempoh 14 hari mulai hari ini.
Keputusan itu selepas mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menggesa Hamzah membuat keputusan berhubung rayuan parti itu.
Ahmad Kamal dalam penghakimannya juga berkata, tempoh lima setengah bulan adalah melebihi masa bagi menteri membuat keputusan berhubung rayuan parti berkenaan yang dikemukakan Januari lalu. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan