KUALA LUMPUR – Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman berkenaan penjualan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang.
Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya terkejut apabila menerima video Syed Saddiq yang menuduh kerajaan Perikatan Nasional mahu menjual LTSAAS kepada tauke jutawan melalui rundingan langsung.
“Dalam video yang lain pula, beliau secara spesifik menuduh kerajaan masih ingin menerima cadangan yang diketengahkan oleh tauke WCT Holdings Berhad (WCT).
“Subang Airport dimiliki oleh Kerajaan Malaysia seperti banyak lapangan terbang lain dalam negara. Tidak pernah ada satu pengumuman pun yang dibuat mengatakan kerajaan yang nak jual Subang Airport sampai tahun 2092 seperti yang dituduh itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Saiful berkata, kerajaan telah umumkan dengan jelas tiada rancangan untuk menjual hartanah Subang Airport.
“Syed Saddiq dah belajar memfitnah dan berbohong, menuduh kerajaan mahu menjual Subang Airport kepada tauke WCT.
“Saya tuntut Syed Saddiq minta maaf secara terbuka kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana video tersebut mencemar nama baik Tan Sri dan semua pembuat keputusan dalam hal ini.
“Kalau tak ada bukti, minta maaf, dan jangan ulangi fitnah ini,” katanya lagi.
Jelasnya, dakwaan Syed Saddiq itu tidak lebih sebagai mencari populariti memandangkan pengasas parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sememangnya pandai dalam teknik populis.
“Tapi… janganlah membawa fitnah. Politik baru mesti bebas fitnah.
“Kadang-kadang saya terfikir juga. Saya tak pelik kalau kerajaan terima banyak cadangan mengenai Subang Airport, termasuk cadangan dari pengurusan MAHB sendiri,” tambahnya.
Wan Mohd Saiful turut berkata, menerima cadangan ini perkara biasa namun jangan difokuskan kepada satu cadangan itu sahaja.
“Syed Saddiq fokus hanya lawan satu proposal spesifik saja, yang lain-lain dia tak komen langsung.
“Ada buat perjanjian dengan sesiapakah hingga sanggup berbohong mendakwa kerajaan nak jual kepada WCT, atau adakah ini menunjukkan Syed Saddiq tak kompeten dalam menilai maklumat?,” katanya lagi.
Terdahulu, Syed Saddiq menyelar tindakan kerajaan kerana dikatakan cuba untuk menjual atau memajak LTSAAS.
Katanya, kerajaan tidak boleh terlalu mudah untuk menjual aset itu memandangkan pemilikan lapangan terbang tersebut di bawah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan sebagainya.
Beliau berkata, jika aset tersebut dijual Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dijangka mengalami kerugian sebanyak RM11.9 bilion, manakala Malaysia Airlines Berhad akan menanggung rugi RM1 bilion setahun. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan